Tiket bas ke Kuala Lumpur paling laris

Hebahkan !!!

TEMERLOH – Tiket perjalanan dari Temerloh ke Kuala Lumpur laris dijual di Terminal Bas Temerloh selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan sejak Isnin.

Kerani kaunter Trans Malaya Ekspres, Helmi Azman, 26, berkata, meskipun tiket ke destinasi itu laris dijual sejak Isnin, tarikh perjalanan untuk 15 Oktober paling laris.

Menurutnya, jualan tiket dijangka meningkat dalam beberapa hari lagi khususnya pada hujung minggu.

“Suasana di terminal ini kembali meriah selepas sunyi dan lengang sejak beberapa bulan lalu, kami baru sahaja memulakan perjalanan hari Selasa,” katanya bahawa syarikat itu menghentikan sementara waktu operasi bermula 24 April lalu.

Situasi itu diakui oleh ejen tiket Billion Star Ekpres, Mohd Syafik Sabda, 28, bahawa tiket ke ibu kota itu laris terjual sejak Isnin.

“Memang tiket ke Kuala Lumpur laku dan kami masih ada lagi menawarkannya setakat Selasa dan mungkin terus meningkat selepas ini.

“Suasana semakin rancak dan terminal kembali menjadi tumpuan selepas beberapa bulan sepi dengan jumlah pengguna pun boleh dikira dengan jari sebelum ini,” tambahnya.

Difahamkan Kuala Lumpur menjadi pilihan di Terminal Bas Temerloh yang dilihat sebagai transit sebelum pengguna memilih destinasi pilihan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Pengurus Ejen Tiket Perdana Ekpres, Syarifah Nur Aizam Syed Zamzuri, 48, pula memberitahu destinasi ke Pantai Timur khususnya ke Kelantan laris terjual di kaunter miliknya.

“Malah kami kena tambah perjalanan iaitu dua perjalanan berbanding satu sebelum ini untuk menampung permintaan pengguna.

“Kalau tak tambah, memang tiket dah habis untuk destinasi ke Kelantan khususnya,” ujar beliau.

Sementara itu, seorang pekerja kios di terminal memberitahu, jualan dilihat semakin positif sejak Isnin berikutan kehadiran pengguna yang semakin meningkat.

Malah seorang pekerja tandas awam di terminal itu, Rosnah Husin, 53, juga mengakui jumlah pengguna meningkat secara mendadak sejak Isnin.

“Sejak rentas daerah dibenarkan, sudah nampak pertambahan jumlah pengguna dan ia terus meningkat bila sudah boleh rentas negeri.

“Dulu nak dapat lebih RM100 sehari pun payah, sejak beberapa bulan lalu kini situasi semakin baik, harap ia berterusan,” ujarnya.

Leave a Reply