Guru-guru akan mempunyai masa untuk melaksanakan kuarantin kendiri sebelum bertugas secara rasmi, menurut Maszlee Malik.© Provided by Free Malaysia Today Guru-guru akan mempunyai masa untuk melaksanakan kuarantin kendiri sebelum bertugas secara rasmi, menurut Maszlee Malik.PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik menggesa kerajaan menyemak kembali tarikh cuti akhir tahun sekolah dengan memberi lanjutan sekurang-kurangnya seminggu lagi bagi membolehkan guru-guru membuat persiapan secukupnya.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, walaupun kementerian terbabit memperuntukkan cuti akhir tahun selama tiga minggu namun menjadi amalan sekolah di Malaysia untuk memanggil guru kembali berkhidmat seminggu lebih awal bagi melakukan persediaan mereka.

“Dengan penambahan cuti ini, guru-guru boleh pulang ke kampung halaman terutama mereka yang berasal dari Semenanjung untuk kembali mengajar di Sabah dan Sarawak atau guru-guru di Semenanjung yang berasal dari Sabah dan Sarawak dengan lebih selesa dan berbaloi dari segi masa serta kos,” katanya dalam satu kenyataan.

Maszlee berkata, ia bagi memastikan guru-guru terbabit benar-benar bersedia untuk kembali bertugas bukan hanya dari segi fizikal tetapi mental.

“Guru-guru boleh mempunyai masa untuk melaksanakan kuarantin kendiri sebelum bertugas secara rasmi.

“Ini akan memastikan mereka benar-benar bersedia untuk bertugas. Ia juga memandangkan sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga Feb 2022,” katanya