Amira Othman jual pantun, ulat bulu paling ramai respon

Hebahkan !!!

Penyanyi dan pelakon Amira Othman memuat naik pantun empat kerat di akaun Facebook miliknya dan pantas tular di media sosial. (Gambar Facebook)© Provided by Free Malaysia Today Penyanyi dan pelakon Amira Othman memuat naik pantun empat kerat di akaun Facebook miliknya dan pantas tular di media sosial. (Gambar Facebook)

Bila kita berani menjual, maka dalam era dunia yang tidak bersempadan ini, memang ramailah yang terhegeh-hegeh sudi membeli.

Demikian halnya dengan penyanyi, pelakon dan pengacara TV popular Amira Othman, 28, apabila dengan beraninya menjual pantun di akaun Facebook miliknya.

“Daun senduduk daun semalu, marilah duduk jangan malu! Haaa balaslah pantun I ni siapa pandai!” kongsinya di Facebook.

Maka dengan sepantas kilat, berduyunlah ruang komen di Facebook milik selebriti cantik itu dengan pelbagai maklum balas yang cukup berwarna-warni.

Kecil besar, tua muda, adam dan hawa tidak ketinggalan mencuba nasib membeli pantun empat kerat yang telah dijual.

Tentunya paling ramai memberi respon pantas adalah sang arjuna atau kaum lelaki yang memang rata-rata bijak menyusun kata.

Tiba-tiba teringat dialog pelakon Aziz Sattar dalam filem Pendekar Bujang Lapok ‘ulat bulu dah naik daun, apa boleh buat nasib badan’.

Untuk itu berikut beberapa komen-komen lucu berunsur ‘menjual minyak urat’ yang sempat dikongsikan.

“Pakai getah ikat penyapu lidi, membeli penyapu dalam pasar tani, bukannya saya tak sudi, takut isteri lalu dekat sini,” kata Ishak Jamaluddin.

“Hajat dihati nak duduk kat sebelah, nampak pula inai dijari izinkan hamba blah…” jawab Fairuz Hj Khalid pula.

“Daun senduduk daun semalu, hidup subur di celah batu, rasa nak duduk tak rasa malu, order ler mee kerang special satu!” ujar Jennifer Sielbert pula.

“Mak andam makcik Yati, lama-lama pandang jatuh hati,” jawab Putra Kamal Pamalo.

“Kereta Vios atuk warna merah, memang nak duduk sebelah tapi takut bini marah,” akur Muhammad Fitri Suharman berseloroh.

“Daun senduduk tumbuh di hutan, buat anyam tikar mengkuang, duduk pun ayu manis senyuman, bolehkah abang masuk meminang?” tanya Lan Lan mencuba nasib.

Leave a Reply