Piala Thomas: Jangan pernah goyang berentap pemain ranking tinggi

Hebahkan !!!

KEJUARAAN Piala Thomas yang sedang berlangsung di Denmark harus menjadi pentas utama untuk pemain muda menampilkan kemampuan masing-masing menentang pemain di ranking yang lebih tinggi.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, para pemain muda negara juga tidak perlu takut dan sentiasa berfikiran positif untuk cuba memberikan saingan dalam kejohanan kali ini.

“Perkara pertama pemain muda ini perlu sentiasa berfikiran positif dan jangan takut dengan pemain yang berada di ranking yang jauh lebih bagus.

“Apabila BAM dah bagi peluang, jangan awal-awal dah fikir tak ada peluang nak menang. Fikiran negatif ini yang akan memberikan kesan kepada permainan kita dan gagal untuk capai tahap terbaik.

“Kalah atau menang itu adalah lumrah dalam perlawanan. Apa yang penting kita berikan yang terbaik dalam perlawanan itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

© Provided by Sinar Harian

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya menghantar Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai pemain senior yang memiliki pengalaman beraksi di pentas Piala Thomas sebelum ini.

Sementara pemain muda dan kurang berpengalaman di pentas dunia seperti Ng Tze Yong, Cheam June Wei dan Aidil Sholeh Ali Sadikin bagi perseorangan lelaki dan Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki dihantar pada edisi kali ini untuk menimba pengalaman sebagai persediaan untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Diundi dalam kumpulan D, Malaysia hanya perlu melepasi halangan Kanada pada Selasa untuk mengesahkan tiket ke suku akhir sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang pasukan pilihan, Jepun pada Khamis.

Dalam pada itu, Rashid turut mengharapkan prestasi konsisten dapat diteruskan Zii Jia dan gandingan Aaron-Wooi Yik yang menjadi sandaran memungut mata dalam pertemuan menentang Kanada dan Jepun.

“Mereka (Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik) kena kekalkan momentum mereka seperti ketika beraksi di Piala Sudirman. Mata memang menjadi harapan kepada kedua-dua perlawanan tersebut.

“Namun, kita juga tidak boleh ambil mudah Kanada dan tetap all out untuk memastikan kemenangan yang sekali gus akan memberikan motivasi kepada pemain,” katanya.

Leave a Reply