Keluarga Malaysia sudah boleh balik kampung

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Penantian yang ditunggu-tunggu Keluarga Malaysia akhirnya membuahkan hasil apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran untuk merentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin, 11 Oktober 2021.

Kebenaran tersebut dilaksanakan susulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

Namun begitu, kebenaran tersebut hanya tertakluk kepada individu yang sudah pun melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Dalam sidang media khas yang diadakan pada Ahad, Ismail Sabri turut mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.

Katanya, ia penting dalam usaha membantu negara membuka semula ekonomi dan persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

Beliau berkata, kini rakyatlah yang akan menjadi barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus tersebut.

Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 akan kembali meningkat dalam negara.

Sementara itu, sebagai langkah berjaga-jaga, Ismail Sabri turut menyarankan rakyat melakukan ujian kendiri Covid-19 terlebih dahulu sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri.

Beliau menasihatkan mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selesema dan sesak nafas supaya menangguhkan dahulu perjalanan.

Dalam masa sama, kerajaan juga akan membenarkan rakyat di negara ini melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang juga berkuat kuasa pada 11 Oktober.

Bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

Keputusan pemansuhan itu antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

Susulan kebenaran aktiviti merentas negeri tersebut, pastinya ramai yang sudah mula menempah tiket bas, kereta api mahupun kapal terbang untuk memastikan mereka dapat pulang ke kampung halaman atau bercuti ke destinasi tertentu.

Namun dalam kita bersuka ria mendengarkan perkhabaran itu, jangan lupa bahawa wabak Covid-19 masih ada dalam kalangan masyarakat.

Diharapkan rakyat sentiasa menjaga pengawasan dan kesihatan kendiri serta patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan pastikan peristiwa manis tidak bertukar menjadi tragedi.

Leave a Reply