‘Tiada UMNO lama, tiada UMNO baharu’

Hebahkan !!!
\

©BAGAN DATUK – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa tiada keperluan untuk menghidupkan semula ‘UMNO lama’ yang telah diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram pada 1988.

Menurutnya, semangat UMNO lama yang ada harus disuntik dalam UMNO kini supaya parti itu dapat bergerak pada satu landasan yang sama.

“Bagi kami dalam pimpinan, tiada UMNO lama dan tidak ada UMNO baharu yang penting UMNO itu satu sahaja. Kita mengambil perkiraan semua peringkat umur termasuk veteran dan jika ada perbezaan pendapatan ini sering diraikan oleh kepimpinan.

“Saya tidak fikir perlunya semangat untuk menghidupkan sesuatu parti yang telah diharamkan dari segi perundangan pada 1988 dan semangat itu harus disuntik dalam UMNO yang ada sekarang ini.

“Mari kita bersatu dan berpadu supaya kita dapat bergerak dalam satu landasan yang sama,” katanya ketika mengulas hasrat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mewujudkan semula ‘UMNO lama’ susulan kebimbangan dalam kalangan veteran parti itu terhadap situasi semasa politik negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘outreach’ Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Parlimen Bagan Datuk di sini pada Sabtu.

Ahmad Zahid berkata, penubuhan parti baharu itu dilihat akan mewujudkan kepelbagaian dalam landskap politik hingga menyebabkan tiada satu pun parti dominan negara.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi maka seseorang itu bebas untuk menubuhkan sebarang pertubuhan atau parti politik mengikut Akta Pertubuhan 1966.

“Tetapi kita harus melihat jika negara kita mempunyai terlalu banyak parti politik akhirnya ia akan menimbulkan kepelbagaian dan tidak ada satu parti yang dominan yang boleh menunjangi sistem demokrasi bagi membentuk kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, landskap yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 harus dielakkan dalam mewujudkan kestabilan politik bagi memperkukuhkan ekonomi negara pada pilihan raya akan datang.

“Bukan hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) harus diperkukuhkan tetapi mungkin tiba masanya untuk kita ketepikan perbezaan ideologi dan pegangan politik demi negara, kita harus wujudkan kesatuan bangsa.

“Rakyat telah muak dengan perbezaan-perbezaan yang amat ketara dalam kalangan tokoh-tokoh politik yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa. Ini harus jadi pegangan utama pada mana-mana tokoh politik termasuk diri saya,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan Tengku Razaleigh itu mungkin tertubuhnya parti baharu mirip Semangat 46 yang diasaskan olehnya sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, ‘Sekilas ikan di air, boleh tahu jantan betinanya’.

Leave a Reply