Ku Li ketuai mesyuarat bincang wujudkan semula ‘UMNO lama’

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada Jumaat mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan semula ‘UMNO lama’.

Menurut bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu, pertemuan tersebut susulan kebimbangan dalam kalangan veteran parti tersebut terhadap situasi semasa politik negara ketika ini.

Menurutnya, rakyat bimbang ketidaktentuan politik serta kemampuan kerajaan yang diterajui UMNO ketika ini mengembalikan kestabilan dalam negara.

“Jadi, kita cuba buat kajian apakah dapatan (wujudkan semula UMNO lama) ini betul. Kita akan bincang sesama kita.

“Kita memikirkan baik kita kaji sama ada kedudukan UMNO lama boleh digerakkan semula kerana sambutan yang diterima agak bagus dan di luar jangkaan.

“Selain itu, banyak yang suka melihat UMNO lama aktif semula. Itulah yang kita bincang tadi,” katanya pada sidang akhbar sebaik selesai mesyuarat di pejabatnya pada Jumaat.

Antara veteran UMNO yang menghadiri mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu ialah bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Khalid Yunus, Tan Sri Dr Suleimen Mohamad (MKT) dan beberapa individu lain.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li berkata, selepas ini beberapa siri pertemuan akan diteruskan bagi melihat sejauh mana kemahuan ramai pihak untuk mewujudkan kembali UMNO lama.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau atau kumpulannya itu sudah membuat perbincangan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menghidupkan semula UMNO lama, Ku Li berkata, tiada keperluan berbuat demikian.

“Saya dinasihatkan tidak perlu kerana (UMNO lama) tidak mati, kalau mati buat apa hendak bagi oksigen. Jadi tidak perlu,” katanya.

Pada 21 September lalu, Ku Li menyatakan hasrat menghidupkan semula ‘UMNO lama’ dan mengalu-alukan jika ada orang yang berminat menyertainya.

Beliau berkata, terdapat rakan-rakannya mahu ‘UMNO lama’ yang telah diharamkan dihidupkan kembali.

Pada Khamis, beberapa media melaporkan Ku Li membuat gerakan awal menghidupkan semula ‘UMNO lama’.

Pada 4 Februari 1988, UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengharaman itu berpunca tindakan sekumpulan ahli UMNO dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Ku Li mengheret parti itu ke mahkamah.

Ia bertujuan mencabar keputusan pemilihan parti yang berlangsung pada 24 April 1987.

Daripada perbicaraan itu, isu cawangan hantu iaitu tidak berdaftar telah dibangkitkan menyebabkan keseluruhan UMNO diharamkan.

Leave a Reply