PUTRAJAYA – Pemohon boleh hadir ke pejabat pendaftaran negara untuk memohon pertukaran alamat pada MyKad tanpa perlu membuat janji temu.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, pihaknya sedang mengemaskini alamat pemilihan lanjutan daripada pelaksanaan Semakan Pra Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA).

“Ia susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta pemilih mengemaskini alamat pada MyKad sekiranya mereka tidak tinggal di alamat yang dipaparkan,” kata kenyataan itu.

JPN turut memberitahu, pemohon hanya perlu membawa dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti, cukai pintu, cukai taksiran atau borang taksiran cukai pendapatan.

“Pemohon juga boleh menggunakan perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon,” katanya.

Melalui kenyataan sama, JPN mengingatkan pemohon membawa dokumen sokongan berkaitan yang asal atau salinan diakui sah.

“Bagi pemohon yang tidak mempunyai kedua-dua dokumen yang dinyatakan mereka perlu mendapatkan dokumen sokongan dari ketua kampung, tuai rumah, penghulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, majikan atau dokumen lain yang membuktikan alamat terkini mereka,” katanya.

Kata JPJ, sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-88807077 atau emel ke pro@jpn.gov.my.