Soal agihan kerusi: Serah Pengerusi BN tentukan

Hebahkan !!!

IDIHAYS. SB

MAKKAL Sakti tiada hasrat berebut kerusi untuk ditandingi calon parti itu, sebaliknya menyerahkan keputusan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) menentukannya.

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, atas pertimbangan kekuatan parti dipimpin orang muda yang dinamik sesuai kehendak generasi baharu, parti memohon tandingi 4 kerusi Parlimen dan 7 kerusi DUN, dalam PRU-15 nanti.

Katanya, keputusan mengenainya terserah sepenuhnya kepada Pengerusi BN kerana Makkal Sakti melalui resolusi Mesyuarat Agung Tahunan telah memohonnya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya yakin keupayaan pemimpin Makkal Sakti yang dinamik dan muda jika diberi tempat mereka mampu sumbang khidmat dan bakti bukan sahaja kepada rakyat tetapi menarik golongan muda generasi baharu.

“Mereka boleh menyumbang tenaga dan idea ke arah masa depan negara dan merencana pembangunan lebih dinamik, yang dapat mengukuhkan lagi kedudukan BN,” katanya mengakui Makkal Sakti semakin diterima orang India di bandar dan luar bandar.

Mengulas berkenaan Makkal Sakti atau MIC yang lebih diterima masyarakat kaum itu, beliau tegaskan itu bukannya keutamaan, sebaliknya perlu diterjemah dalam bentuk sokongan politik.

“Ini bukan pertandingan tetapi kekuatan itu perlu dibukti dalam pilihan raya. Jadi Makkal Sakti kali pertama diberi peluang ini, kita akan lihat pengaruhnya dalam masyarakat India nanti,” ujarnya.

Sementara itu Thanenthiran berkata, pada PRU14 lalu lebih 60 peratus orang India undi PH dan seluruh rakyat terpengaruh janji manis manifesto, akhirnya tertipu habuk pun tiada dan kini sokongan telah kembali kepada BN.

Katanya, Makkal Sakti memiliki strategi membawa kembali sokongan orang India kepada BN pada PRU15 dan peralihan dapat dilihat dalam banyak PRK diadakan dulu di Cameron Highland, Kimanis, Tanjung Piai, Slim River dan Kajang.

“Sebagai contoh di Tanjung Piai dan Slim River, saya sendiri turun, Makkal Sakti telah lakukan gerak kerja besar-besaran dan kita dapat lihat 70 peratus sokongan masyarakat India kini kembali kepada BN.

“Makkal Sakti bekerja bukan saja sebelum PRU14 tetapi juga selepas itu walaupun BN kalah namun kami tidak mengalah. Ini kerana kita tahu hanya BN sahaja dapat kembalikan kemakmuran negara yang kita hilang buat masa ini,” katanya

Leave a Reply