Ini perbuatan jahat, kejam, air mata iringi keterangan Rosmah di mahkamah

Hebahkan !!!
|

Rosmah Mansor menangis selepas gagal mengawal emosi ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah terhadapnya di mahkamah hari ini. (Gambar Bernama)© Provided by Free Malaysia Today Rosmah Mansor menangis selepas gagal mengawal emosi ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah terhadapnya di mahkamah hari ini. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor mengalirkan air mata selepas gagal mengawal emosinya ketika perbicaraan kes rasuah terhadapnya hari ini, melibatkan projek tenaga solar hibrid RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu berkata tindakan sepatutnya diambil terhadap lima saksi pendakwaan tetapi itu tidak berlaku.

Beliau mendakwa ini “demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum”.

Rosmah yang memberi keterangan bersumpah berkata, saksi berkenaan sebaliknya telah dipanggil memberi keterangan terhadapnya sedangkan beliau tiada sebarang jawatan dalam kerajaan atau kuasa untuk meluluskan sebarang projek.

Lima orang yang dimaksudkannya adalah bekas Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamad dan Alias Ahmad, bekas pembantunya Rizal Mansor, serta Pengarah Urusan Jepak Holding Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

“Ini adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu ‘malicious and selective prosecution’ (pendakwaan yang jahat dan selektif) terhadap saya,” katanya dengan suara serak.

Bagaimanapun, beliau kembali bertenang dan meneruskan keterangannya kepada mahkamah.

Rosmah turut memohon maaf kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan kerana luahan emosi itu.

“Minta maaf, banyak perkara yang telah saya lalui,” katanya kepada mahkamah.

Rosmah, 69, dituduh meminta RM187.5 daripada Saidi melalui Rizal, sebagai imbuhan untuk membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek solar itu secara rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Rosmah juga menghadapi dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta pada 2016 dan RM5 juta pada 2017 daripada Saidi.

Dalam pernyataan bertulis saksinya, Rosmah mengenal pasti Aazmey Abu Talib, bekas Setiausaha Bahagian Umno Pekan, telah menerima wang rasuah daripada Saidi dan pembantunya Rayyan Radzwill Abdullah bagi mendapatkan projek berkenaan.

Terdahulu, Rosmah menyifatkan pendakwaan sebagai keterlaluan apabila melabelnya bersikap “overbearing” (suka menguasai orang lain) dan berkemampuan mempengaruhi keputusan dalam sektor awam.

Pada 18 Feb, Zaini turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengemukakan sebagai bahan bukti, rakaman audio dikatakan perbualan antara Rosmah dan suaminya Najib Razak berhubung isu 1MDB.

Rakaman itu membolehkan mahkamah menilai pembawaan Rosmah, termasuk berkaitan dengan dakwaan “overbearing” seperti dinyatakan dalam kenyataan pembukaan pihak pendakwaan.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah mendengar 10 saat pertama rakaman itu, yang memperdengarkan Rosmah memberitahu Najib “Boleh saya nasihatkan sesuatu?” manakala bekas Perdana Menteri itu didengar memberitahu isterinya, beliau perlu masuk ke dalam kereta terlebih dulu.

Mahdzir sebelum ini dalam keterangannya berkata, suara wanita dalam rakaman itu adalah Rosmah manakala lelaki terbabit pula Najib.

Rosmah berkata, perbualan seperti direkodkan dalam rakaman audio itu adalah hal peribadi antara suami isteri, dan beliau memberikan pandangan manakala Najib mendengar.

“Perbualan saya dan suami saya adalah perbualan peribadi, saya memberikan pendapat saya, dan suami saya pula mendengar, dan begitulah sebaliknya.

“Ada ketikanya, suami saya memberikan pandangan beliau, dan saya pula menjadi pendengar. Sama ada suami saya menerima pandangan saya, atau sama ada saya menerima pandangan suami saya, adalah soal kedua. Inilah resam rumahtangga dan asam garam kehidupan berkeluarga,” katanya dengan menegaskan beliau tidak pernah mengkehendakkan suaminya menurut pandangannya.

Tambahnya, sekiranya benar beliau seorang yang terlalu dominan, perkahwinannya dengan Najib tidak mungkin bertahan 34 tahun.

“Walau apapun, perbualan (dengan Najib) tersebut sama sekali tidak menyentuh berkenaan projek solar hibrid,” katanya malah menganggap sebagai mengejutkan apabila ia dibangkitkan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram.

Leave a Reply