Miliki akaun di luar pesisir sah, tidak langgar undang-undang negara

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Pemilikan akaun di luar pesisir adalah sah dan tidak melanggar undang-undang negara.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, Collister Holdings Ltd (Jersey) diperbadankan pada tahun 1994 ketika beliau menjadi Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Baja Nasional Filipina yang berpusat di Manila dari tahun 1994 hingga 1997.

Beliau berkata, pada masa itu, pakar kewangan dan cukai menasihatkan cara terbaik untuk menguruskan pendapatan, kewangan dan pelaburannya sebagai ekspatriat (pegawai dagang) adalah melalui Collister Holdings Ltd.

“Semua ini dijalankan secara sah. Tidak ada pelanggaran undang-undang Malaysia dan Filipina.

“Berkenaan dengan syarikat British Virgin Island, Maxcorp (Asia) Overseas Ltd, saya tidak dapat mendedahkan perkara ini dengan lebih lanjut tanpa persetujuan klien sama seperti prosedur biasa untuk firma guaman,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, media melaporkan Konsortium Antarabangsa Wartawan Siasatan (ICIJ) membuat pendedahan menggemparkan tentang aktiviti kewangan luar pesisir untuk menyembunyikan aset bernilai jutaan dolar.

Baru-baru ini juga, ‘Pandora Papers’ atau Kertas Pandora mendedahkan senarai urus niaga melibatkan tokoh-tokoh politik, ahli-ahli perniagaan, selebriti-selebriti yang membuka akaun di pusat-pusat kewangan pesisir di dunia.

Pusat-pusat kewangan itu merupakan kawasan perlindungan cukai yang mana golongan kaya tersebut dikatakan mahu mengelakkan diri daripada dikenakan cukai oleh negara-negara mereka dengan menyimpan aset-aset di pusat-pusat kewangan berkenaan.

Selain William, antara nama besar yang didakwa terlibat dengan syarikat luar pesisir termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Leave a Reply