Desak Akta Pembiayaan Dana Politik disegerakan

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Walaupun belum menerima sokongan daripada kerajaan secara formal, desakan untuk mempercepatkan perlaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik terus dipergiatkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, antara usaha yang dijalankan termasuk mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan beberapa ahli politik serta beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Tricia turut gembira kerana tuntutan kedua kempen Politik #MalaysiaTanpaRasuah itu semakin mendapat reaksi positif dalam kalangan rakyat negara ini termasuk pemimpin-pemimpin parti politik.

“Pada masa sama, pembentukan Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) sedang diusahakan,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Selasa.

Menyentuh mengenai kes Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tricia mengaitkannya dengan kepentingan mewujudkan Akta Pendanaan Politik.

“Ia menunjukkan betapa pentingnya ada satu Akta Pendanaan Politik supaya semua rakyat Malaysia khususnya ahli politik dan sesiapa yang terlibat dalam politik mengetahui apakah yang dibenarkan dan sebaliknya,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akta pendanaan awam perlu dilaksanakan atas beberapa faktor walaupun ia sukar diterima oleh beberapa pihak.

© Provided by Sinar Harian

Tambah Tricia, antara faktornya adalah memastikan parti menerima dana daripada sumber yang dipercayai seperti kerajaan.

“Kalau parti menerima duit daripada kerajaan, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada dana daripada pihak berkuasa seperti individu kaya, ahli perniagaan yang lazimnya mengharapkan imbuhan dari dana yang diberi.

“Pendanaan awam juga dapat meningkatkan penglibatan wanita dan belia dalam politik jika syarat yang dikenakan kepada parti iaitu dana khas akan diberi jika parti meletakkan sejumlah calon wanita dan belia dalam pilihan raya,” katanya.

Tricia turut berpendapat dana awam boleh meningkatkan ketelusan dan pengawalseliaan terhadap parti-parti politik serta mengurangkan rasuah selain mewujudkan hubungan yang lebih erat antara parti politik dan para pengundi.

Leave a Reply