Muhyiddin jadi punca konflik politik berpanjangan – Kadir Jasin

Hebahkan !!!

KRISIS politik negara yang tidak berkesudahan sampai ke hari ini, boleh dianggap bertitik-tolak daripada tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini, dakwa Datuk A. Kadir Jasin

Mengulas krisis terkini berlaku di Melaka, tokoh wartawan veteran itu berkata, bekas perdana menteri ke-8  itulah yang ‘mengajar’ cara menjatuhkan sesebuah kerajaan.

Menyorot kembali langkah sumbang politik dicatur Muhyiddin khususnya pasca PRU-14, Kadir berkata, anggota parlimen Pagoh bersama “konco-konconya” yang mulakan langkah jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan.

“Dia (Muhyiddin) pun naik jadi perdana menteri.

“Ahmad Zahid Hamidi (Presiden Umno) ajar cara jatuhkan ketua kerajaan. Dia dan ‘Geng 15’ jatuhkan Muhyiddin dengan menarik balik sokongan. Perdana menteri dari Bersatu jatuh, perdana menteri dari Umno naik.

“Umno yang kalah pilihan raya kembali berkuasa. Bersatu dan PH kalahkan Umno pun terpelanting,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook.

Tambahnya lagi, sekarang penyakit sama merebak ke negeri pula apabila berlaku di Melaka, dua ahli dewan undangan negeri (Adun) dari Umno berpakat dengan seorang Adun Bersatu dan seorang Adun bebas (asalnya DAP) untuk jatuhkan kerajaan pimpinan Umno.

Sebelum ini media melaporkan empat Adun Melaka yang sebelum ini menjadi sebahagian kerajaan negeri, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sekali gus menyebabkan kerajaan negeri itu kehilangan majoriti.

Situasi yang berlaku di Melaka itu menurut Kadir, sama seperti Muhyiddin lakukan ketika menjatuhkan perdana menteri PH.

“Macam Muhyiddin dari Bersatu bersekongkol dengan Umno, PAS dan geng Azmin Ali menjatuhkan perdana menteri PH dari Bersatu.

“Cepat sungguh politikus Melayu-Islam belajar perkara tidak baik. Kalau di Perak yang jatuhkan menteri besar dari Bersatu ialah Umno, tapi di Melaka ia sudah sampai peringkat menjatuhkan ketua kerajaan daripada parti yang sama. Umno jatuhkan Umno,” katanya.

Leave a Reply