Percaturan Dunia : Malaysia tersepit perang proksi 2 kuasa besar

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR /Pic

ISMAIL Sabri berucap secara maya di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76.

MALAYSIA sebagai negara membangun lebih menumpukan perhatian terhadap kemakmuran ekonomi untuk mencapai pertumbuhan mapan, namun adakala terpaksa berdepan situasi mencabar dipengaruhi faktor luaran.

Antara elemen luaran yang memberi tekanan terhadap arah tuju sesuatu dasar diamal oleh sesebuah negara adalah faktor keselamatan dan hubungan luar bilateral mahupun multilateral.

Dalam situasi semasa, Malaysia dilihat makin tersepit dengan pencaturan dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat dan China yang saling bersaing memperluaskan pengaruh di rantau Asia Tenggara ketika ini.

Dengan Singapura telah menjadi anak emas banyak negara Uncle Sam, maka China pula sedaya upaya mewujdudkan sebuah negara proksi untuk mengimbangi pengaruh AS di rantau ini.

Maka, tidak menghairankan sekiranya kita sering mendengar pencerobohan laut mahupun udara oleh bala tentera Republik Rakyat China (PRC) di zon persempadan Malaysia.

Dalam konteks isu terkini, pembentukan pakatan baharu melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau AUKUS dengan beberapa negara di Asia Tenggara telah menimbulkan polemik pencaturan kuasa meresahkan Malaysia.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut mempersoalkan kewajaran Malaysia yang tidak menghantar wakil ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76 yang berakhir baru-baru ini.

Tindakan wakil Malaysia, iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut tampil berucap secara maya sahaja, dipertikai kerana platform sepenting UNGA perlu digunakan sebaiknya oleh Malaysia berhubung penyelesaian isu AUKUS.

 WAWANCARA MEDIA 
Anifah ketika wawancaranya bersama Utusan Malaysia turut mengupas isu ini dengan menyifatkan penyertaan Malaysia dalam UNGA amat penting bagi memastikan suara negara ini didengar dan haknya terus dijaga.

“Malaysia sepatutnya diwakili secara fizikal, sekurang-kurangnya oleh Menteri Luar bagi membincangkan isu-isu terbaharu termasuk pembentukan pakatan baharu yang dikenali sebagai AUKUS.

“Tidak perlu membuang masa untuk pergi ke China, kemudian ke Australia, kemudian ke AS contohnya, kerana pada masa itu semua wakil tertinggi negara berkumpul di UNGA,” katanya yang berpendapat perhimpunan di New York itu medan terbaik meneutralkan keadaan sedikit tegang ketika ini.

Bagi Malaysia, penyertaan dalam AUKUS dilihat strategik demi merapatkan hubungan dengan negara-negara peserta selain mewujudkan hubungan dagang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi negara.

Manakala aspek lain pula, penyertaan dalam AUKUS akan menggugat hubungan dua hala Malaysia – China berikutan respon negatif yang diberikan oleh negara Tembok Besar itu terdapat sebarang pakatan yang menggugat obligasinya di rantau ini.

Antara pertimbangan China pastinya isu membabitkan wilayah tuntutan bertindih, Kepulauan Spratly yang diperjuangkan oleh mereka sejak sekian lama dengan mendakwa pulau yang kaya dengan sumber alam itu sebahagian daripada wilayah lautnya.

Justeru, pendapat diutarakan Anifah ada benarnya kerana UNGA adalah perhimpunan penting diadakan setahun sekali dan sering diaplikasikan sebagai medan memperkata atau memperjuangkan sesuatu isu besar yang perlu perhatian dunia.

KEGAGALAN Saifuddin hadir secara fizikal ke UNGA dikesali oleh banyak pihak dalam negara

 

Anifah berkata, perlunya Malaysia hadir ke UNGA bagi memastikan imej dan mesej sebenar mengenai keadaan negara kini disampaikan dan dipertahankan.

“Ia juga sebagai platform bagi memastikan suara serta hak Malaysia dijaga, selain memberi peluang pemimpin negara berjumpa pemimpin lain sekurang-kurangnya 25 negara di ibu pejabat PBB di New York itu.

“Pertemuan itu, juga membolehkan pemimpin kita untuk merancang lanjut keperluan mengadakan lawatan kerja dan bertemu dengan pihak-pihak berkepentingan di AS,” katanya yang mengakui sedikit terkilan dengan tatacara Malaysia dalam soal ini.

Keresahan disuara pelbagai pihak berkenaan isu kehadiran fizikal ke UNGA berasas kerana perhimpunan yang terbesar peringkat pemimpin sedunia itu wajar dimanfaatkan untuk berinteraksi dengan negara lain secara efisien dan ‘high level’.

 

  • UNGA platform penting
  • Kaedah berbincang dan merundingkan pelbagai isu kerjasama ekonomi, pertahanan, pelajaran mahupun keselamatan wajar digunakan sebagai cabang diplomasi strategik di UNGA demi faedah untuk Malaysia.

    “UNGA juga sebagai peluang untuk Malaysia bertemu bukan sahaja dengan ASEAN, tetapi melibatkan kerjasama lain termasuk dengan AS. Jadi, sangat penting bagi Malaysia untuk diwakili oleh sekurang-kurangnya Menteri Luar kita,” tegas Anifah.

    Berikutan perkembangan isu pembentukan kerjasama tiga hala antara AS, Australia dan UK baru-baru ini, negara negara Asia Tenggara (ASEAN) telah menyuarakan kebimbangan terhadap isu berbangkit

    Antara isu ialah perang proksi bakal tercetus melalui AUKUS yang dibimbangi memangsakan negara kecil seperti Malaysia dan negara ASEAN lain yang kini bergelut untuk memulihkan ekonomi terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

    AUKUS juga secata tidak langsung dapat mencetuskan provokasi terhadap China untuk bertindak secara lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan, sebagai salah satu laluan perdagangan penting dunia yang menghubungkan selat Melaka.

    Selain itu, penyertaan dalam AUKUS juga bakal memangkinkan perlumbaan senjata nuklear di rantau Indo-Pasifik walaupun negara-negara di kawasan ini telah menandatangani persetujuan sebagai blok bebas nuklear dan perlumbaan senjata

    Oleh itu, pelbagai perkara berbangkit yang berlaku semasa, sehingga berpotensi menggugat isu keamanan serta keselamatan negara di Asia Tenggara wajar diperjuang dan dipertegaskan di pentas UNGA.

    Pendirian Malaysia berhubung AUKUS wajar disuarakan secara berdiplomasi dengan menteri-menteri luar negara lain termasuk China seterusnya merangka perbicangan lanjut mengenainya demi mencapai kaedah ‘win-win situation’. Ini kerana UNGA adalah pentas menyediakan momentum suara lebih besar didengari sekiranya melibatkan negara-negara ASEAN lain.

    Pendek kata, satu kesepakatan secara kolektif dapat dicapai di UNGA dengan perhatian khusus diberikan negara-negara yang terlibat langsung dalam perikatan AUKUS untuk mempertimbangan kerisauan negara-negara kecil berikutan kewujudannya.

    Ini antara faktor perlunya Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hadiri UNGA berbanding hanya ‘berbisik manja di alam maya’ yang mungkin tidak diendahkan langsung oleh wakil-wakil negara peserta yang hadir di Ibu Pejabat PBB itu.

Leave a Reply