Posting berbaur perkauman – Pemilik akaun FB memohon maaf

Hebahkan !!!

SELEPAS menerima keceman hebat pelbagai pihak ekoran tulisan dimuat naik pemilik akaun Facebook, Borhan Che Rahim telah tampil mengemukakan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Posting berbaur perkauman itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang kesal dengan tindakan mencemarkan keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, Borhan memaklumkan turut mengambil langkah susulan dengan bersedia melepaskan jawatan sebagai Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh bagi menjernihkan keadaan akibat daripada tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Saya merujuk kepada ‘posting’ dan laporan mensabitkan kesalahan terhadap saya. Saya mengaku telah melakukan kesalahan dan menyedarinya adalah kesalahan besar.

“Sehubungan dengan kesalahan dan tindakan dilakukan berkaitan dengan ‘posting’ dilakukan dalam Facebook akaun Borhan Che Rahim berkaitan pemain badminton negara, saya menarik balik kenyataan dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya tidak berniat untuk menjatuhkan mana-mana orang dan kaum. Saya akan perbaiki sikap saya pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular dalam media sosial berkaitan tulisan perkauman oleh ‘Borhan Che Rahim’ terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland, semalam.

Tulisan itu menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan warganet terbabit.

Malah, netizen juga mahu pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Sementara itu, dilaporkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik turut mengambil tindakan membuat laporan polis berkaitan perkara terbabit untuk tindakan lanjut.

Semoga permohonan maaf secara terbuka oleh individu terbabit, dapat meredakan ketegangan dan rasa marah pihak yang tersinggung dengan pernyataan tersebut.

 

 

Leave a Reply