SOP di pawagam tak masuk akal, kata bekas timbalan menteri

Hebahkan !!!

Pawagam mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan sekatan penuh, menurut Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. (Gambar Bernama)© Provided by Free Malaysia Today Pawagam mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan sekatan penuh, menurut Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menyifatkan ada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selepas pawagam dibenarkan beroperasi semula sebagai tidak masuk akal apabila orang ramai masih perlu membeli makanan serta minuman secara dalam talian ketika membuat tempahan tiket wayang.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata sektor terbabit telah mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan sekatan penuh yang mana industri bernilai RM1.5 bilion itu mempunyai lebih 20,000 pekerja.

“Kira-kira 40% pendapatannya diperolehi daripada jualan makanan dan minuman di kaunter namun SOP untuk negeri-negeri Fasa 2, 3 dan 4 menyatakan ia hanya boleh dibeli secara atas talian ketika membuat tempahan tiket.

“Ini tidak masuk akal, terutamanya apabila kerajaan telah membenarkan orang ramai makan di dalam kedai. Sukar untuk melihat bagaimana pembelian minuman dan makanan di kaunter dengan penjarakan sosial, lebih berbahaya berbanding makan di premis secara beramai-ramai tanpa memakai pelitup muka untuk tempoh jangka masa yang lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Kian Ming Ong looking at the camera: Ong Kian Ming.

Ong yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, satu lagi peraturan yang tidak masuk akal ialah melarang kanak-kanak di bawah umur 17 tahun untuk masuk ke pawagam.

Katanya, memandangkan proses pemberian suntikan vaksin kepada remaja telah dimulakan, ia lebih masuk akal untuk membenarkan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang telah lengkap dos vaksin untuk masuk.

“Satu lagi peraturan yang tidak masuk akal ialah apabila mereka hanya membenarkan penonton duduk bersebelahan sekiranya tinggal bersama atau mempunyai alamat yang sama.

“Duduk bersebelahan dalam pawagam dengan mengenakan pelitup muka tanpa bersemuka dilihat lebih selamat berbanding makan di restoran sambil bersemuka dan bersembang dengan orang lain tanpa pelitup muka,” katanya.

Ong menggesa beberapa orang menteri yang terlibat dalam meneliti SOP terdiri daripada Annuar Musa, Hishammuddin Hussein, Tengku Zafrul Aziz dan Khairy Jamaluddin untuk melakukan usaha lebih bersepadu bagi mengemaskini SOP di sektor terjejas sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi.

“Ini hanya beberapa SOP tidak masuk akal yang memberi kesan terhadap satu industri.

“SOP yang disediakan pada 10 Sept ini masih belum dikemaskini setakat hari ini.

“Saya pasti terdapat SOP lain yang tidak masuk akal yang boleh memberi kesan negatif terhadap pelbagai industri lain.”

Leave a Reply