Kenyataan Majlis Presiden PH sekadar tipu penyokong: Najib

Hebahkan !!!
|

SHAH ALAM – Kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung penyelesaian kes Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan bayaran kompaun adalah sangat salah dan sekadar untuk menipu penyokong mereka.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa, Ahmad tidak didakwa mencuri apa-apa wang tetapi dituduh menerima bayaran daripadanya yang dikatakan berpunca daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tambahnya, sudah berapa kali kerajaan kalah dalam kes serupa disebabkan gagal membuktikan wang yang dibayarnya berpunca daripada 1MDB atau sumber haram.

“Nombor 2 tawaran kompaun kepada Ahmad Maslan untuk selesaikan kes pertama kali ditawar oleh kerajaan PH pada tahun 2019.

“Pada masa itu, Ahmad Maslan enggan bayar sebab berasa dia tidak bersalah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau turut menyertakan link berita berkaitan isu notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan beberapa pihak dan entiti yang disyaki menerima dana 1MDB.

“Namun, minggu lepas Ahmad Maslan bersetuju bayar untuk elak kes mahkamah berlanjutan,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH menggesa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberi penjelasan berhubung trend kes mahkamah melibatkan individu berprofil tinggi serta penyokong parti pemerintah telah dilepas atau dibebaskan daripada pendakwaan sama ada memulangkan sejumlah wang yang didakwa diterima secara tidak sah atau dengan membuat bayaran kompaun.

Leave a Reply