Umno mahu jadi ‘king maker’ lepas PRU15, enggan agih kerusi dengan PN, kata sarjana politik

Hebahkan !!!

a group of people flying kites in the sky: Sarjana Sains Politik, Jayum Jawan, berkata tidak mungkin Umno akan menyerahkan kawasan yang pernah diwakilinya, tetapi hilang pada 2018 kepada mana-mana pihak. (Gambar Bernama)© Provided by Free Malaysia Today Sarjana Sains Politik, Jayum Jawan, berkata tidak mungkin Umno akan menyerahkan kawasan yang pernah diwakilinya, tetapi hilang pada 2018 kepada mana-mana pihak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno mahu menjadi “king maker” sebenar selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) apabila enggan melayan tawaran kerjasama agihan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN), terutama Bersatu kerana berhasrat mendominasi sepenuhnya kerusi majoriti Melayu.

Sarjana Sains Politik, Jayum Jawan, berkata keyakinan itu bersandarkan sokongan akar umbinya yang kukuh sebelum ini, namun ia masih bergantung terhadap sejauh mana parti itu mampu menarik kembali sokongan yang sudah retak selepas PRU14 pada 2018.

“Berdasarkan pemerhatian, kepimpinan Umno sekarang amat lemah, tiada haluan, tiada tarikan, karisma pun rendah. Ibarat sudah retak menanti belah. Umno mungkin tidak dapat menarik kembali sokongan dahulu dan akan berdepan pihak lawan daripada kedudukan lemah,” katanya.

Katanya, besar kemungkinan parti Melayu terbesar itu akan menggunakan nama parti mereka sendiri atau kekal menggunakan lambang Barisan Nasional (BN), berjuang bersama rakan kongsi lamanya, MCA dan MIC.

“Tidak mungkin Umno akan menyerahkan kawasan yang pernah diwakilinya, tetapi hilang pada 2018 kepada mana-mana pihak sama ada rakan mahu pun sekutu dalam PN atau mana-mana parti dalam perikatan lain seperti Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PH tidak akan menjadi “rakan strategik” Umno pada PRU15, dengan parti itu dikatakan mahu menumpukan kerusi majoriti Melayu, PKR (kerusi bercampur), DAP (kerusi majoriti bukan Melayu), manakala Amanah (campuran/majoriti Melayu).

“Tambahan, jumlah kerusi dimiliki atau dimenangi selepas PRU15 akan menentukan kedudukan setiap parti dalam perikatan parti pemerintah,” katanya.

Hala tuju PAS

Mengulas mengenai hala tuju PAS yang berada di “dua kolam” iaitu PN dan Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, Jayum berkata, PAS adalah parti bersifat wilayah kerana tertumpu di kawasan pantai timur semata-mata.

“Nasib PAS yang memainkan peranan agak penting dalam proses pembentukan kerajaan persekutuan dan di beberapa negeri kebelakangan ini bersifat sementara dan kerana kemerosotan parti Umno.

“Dalam keadaan ‘versatile’, PAS tidak menarik sebagai rakan mana-mana perikatan kerana kedudukan dan haluan yang agak berbeza dengan arus perdana politik Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata parti komponen PN mencapai konsensus menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan segera tanpa BN.

Muhyiddin berkata, ini kerana tiada isyarat daripada Umno dan BN mengenai hala tuju kerjasama gabungan itu.

Malam tadi, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

Katanya, keputusan itu adalah muktamad.

Dalam pada itu, Jayum berkata, PN terutama Bersatu mengorak langkah tepat dengan tidak mengambil jalan tengah untuk duduk bersama Umno dalam menentukan pembahagian kerusi, termasuk membabitkan parti lain dalam komponen berkenaan.

“Pasti Umno ingin mencalonkan orang mereka dalam semua kerusi/kawasan lama, iaitu hampir semua kawasan/kerusi majoriti Melayu di Semenanjung. Berunding dengan rakan dalam PN bermakna Umno perlu melepaskan sebahagian kerusi yang pernah dimilikinya untuk rakan atau sekutu dalam PN. Ini mungkin tidak dapat diterima parti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, tiada guna PN dan Bersatu menunggu berhubung soal menentukan kawasan parti mana akan bertanding.

Leave a Reply