Air banjir merah, mengejutkan penduduk di Tampoi

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

KEJADIAN air banjir berwarna merah yang berlaku di Kampung Sri Serdang Baru, Tampoi, Johor, Khamis, telah mengejutkan penduduk setempat yang hairan melihatnya pertama kali berlaku.

Namun, setelah ditinjau lokasi sekitar, keresahan mereka reda apabila mengetahui kejadian air banjir berwarna merah itu berpunca daripada tumpahan sisa pewarna dari sebuah kilang tekstil berdekatan.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar(JAS) Wan Abdul Latiff Wan Jaffar menjelaskan, pencemaran itu mungkin disebabkan oleh air hujan terkena pada bekas penyimpanan bahan pewarna yang sudah reput kerana kilang tersebut tidak berbumbung.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari Sabtu (2 Okt) beliau berkata daripada siasatan dan aduan penduduk, air merah mengalir dari kilang tekstil seluas 8.49 hektar itu yang diakui pemiliknya telah wujud 1940-an lagi, sebelum berhenti operasi pada tahun 2000.

Hasil pemeriksaan lanjut katanya, telah mendapati terdapat tumpahan dari bekas sisa pewarna lama yang ditinggalkan di dalam kawasan kilang tersebut.

“Setelah banjir surut kira-kira pukul 4.15 petang, air tidak lagi berwarna merah.

“JAS Negeri Johor telah arahkan pemilik kilang supaya segera lakukan pembersihan dan pelupusan mengikut Seksyen 31 dan Seksyen 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS),” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata, hasil tinjauan terkini mendapati pihak kilang telah menjalankan pembersihan, memindahkan sisa tumpahan dan menutup bangunan dengan kanvas sehingga selesai kerja pelupusan.

Leave a Reply