Bukit Aman rakam keterangan Ebit Lew dan isteri

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Lew telah dipanggil sekali lagi oleh Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual pada Khamis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pendakwah itu hadir bersama isterinya bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Pada 23 September, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan ekoran video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Pada masa sama, Abd Jalil memaklumkan kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ekoran penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pada Ogos lalu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew telah dipanggil untuk merakam keterangan percakapannya di Bukit Aman bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Leave a Reply