Kapasiti masjid ikut jumlah sebenar mulai esok – JAWI

Hebahkan !!!

PENJARAKAN sosial 1.5 meter dan patuh SOP jadi keutamaan dalam aktiviti ibadah.

 

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan membenarkan kapasiti penuh jemaah solat Jumaat dan solat fardu masjid serta surau di Wilayah Persekutuan berkuat kuasa esok.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail, ketetapan itu setelah diperkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Beliau berkata, keputusan yang diambil berdasarkan perkembangan terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN) di tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkuatkuasa 1 Oktober ini.

“Kehadiran jemaah kini dibenar mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan 1.5 meter bagi semua aktiviti solat Jumaat, solat fardu serta solat berjemaah yang lain.

“Semua masjid dan surau turut dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah maghrib, kuliah subuh, kuliah dhuha, kuliah zohor.

“Selain itu, tazkirah sebelum Jumaat, tadarus Al-Quran, kuliah muslimat bacaan Yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa turut dibenar namun tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, selaras penetapan baharu berkuatkuasa, Mohd Ajib menyeru seluruh umat Islam terutananya warga di Wilayah Persekutuan terus patuhi SOP ditetapkan dan tidak meremehkan jangkitan COVID-19

“Masyarakat Islam diseru memanfaatkan peluang tersebut, mengimarahkan masjid dan surau serta bermunajat serta berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera berakhir,” katanya.

Leave a Reply