Kerajaan Melaka tidak akan tumbang – Veteran Politik

Hebahkan !!!

10 ADUN dilantik bentuk Kerajaan Negeri Melaka | Astro Awani

 

DESAS-desus mengatakan Kerajaan Negeri Melaka akan jatuh dalam masa terdekat, disifatkan sebagai khabar angin sengaja diciptakan beberapa individu untuk meraih kepentingan politik peribadi, kata seorang Veteran Politik tempatan.

Beliau berkata, isu dibangkitkan itu telah lama diperkatakan oleh pelbagai pihak sejak awal Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

Katanya, percaturan jatuhkan kerajaan negeri dikaitkan dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan akan melompat parti, seterusnya membentuk kerajaan negeri baharu.

“Namun, seperti kita lihat, sehingga ke hari ini tiada seorang pun daripada ADUN terbabit melompat, malah boleh dikatakan bahawa idea melompat ini sebagai satu ugutan demi meraih kuasa.

“Empat ADUN yang didakwa terbabit ialah Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haroon; Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu – Telok Mas) dan Datuk Muhammad Jailani (ADUN Rembia) kononnya akan melompat,” katanya kepada My-News.Online ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun beliau meramalkan, dakwaan itu tidak lebih sekadar permainan politik individu tertentu  ingin memastikan kerusi diwakili ketika ini akan kekal ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Utusan Online hari ini melaporkan mengenai spekulasi kononnya Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa, berikutan empat ADUN dikatakan akan melompat ke PH.

Bagaimanapun dakwaan tersebut masih samar dan kerajaan negeri masih dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Pada masa ini, kerajaan negeri menguasai 17 kerusi DUN manakala pembangkang pula 11 kerusi.

Leave a Reply