Hebahkan !!!

© Provided by Sinar HarianPORT DICKSON – Polis menerima dua laporan berkenaan kejadian puting beliung yang berlaku di Taman Bagan Kurnia, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian puting beliung di kawasan Chuah itu telah menyebabkan beberapa kerosakan di 10 buah rumah.

Menurutnya, pihak polis telah membuat tinjauan di kawasan terjejas sejurus selepas dimaklumkan oleh penduduk setempat bagi mengenal pasti kerosakan dan kerugian.

“Hasil tinjauan mendapati lebih kurang 10 buah rumah penduduk kampung terjejas seperti tercabut bumbung, manakala sebuah kilang pemeliharaan udang juga mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

“Selain itu, seorang wanita warga emas berumur 83 tahun mengalami kecederaan ringan disebabkan kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya, setakat ini Kaunter Aduan Balai Polis Chuah telah menerima dua laporan mengenai bencana alam berhubung 10 buah rumah yang terjejas.

Katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika Fasa Peralihan Monsun yang bermula pada 24 September dan berterusan sehingga awal November ini yang boleh menyebabkan kejadian angin kencang serta ribut petir.

“Orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

“Orang ramai boleh menghubungi Hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi Rabu, kejadian puting beliung berlaku di taman tersebut sehingga menyebabkan 10 rumah terjejas dan seorang warga emas cedera akibat terkena serpihan bumbung yang jatuh ke dalam rumah.

Leave a Reply