Jelmaan roh si mati gugat kecekalan pemandu van jenazah

Hebahkan !!!

 

PENAMPAKAN lembaga putih melintasi kenderaan membawa jenazah antara realiti sukar dilupa

Kejadian berlaku tiga minggu lepas, apabila Hamid dan pembantunya Razif diminta menghantar pulang jenazah seorang wanita yang meninggal dunia di hospital, untuk disemadikan di kampung halamannya, di utara tanah air.

Tanpa banyak soal mereka berdua menjalankan tugas diberi seperti biasa kerana mereka sudah biasa menghantar jenazah ke merata tempat. Namun kali ini agak berbeza apabila si mati tidak diuruskan oleh waris sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak hospital, termasuklah urusan penghantaran.

Ketika mula bertolak, cuaca cerah dan tenang, namun setibanya van jenazah itu melepasi bandar Taiping, tiba-tiba hujan mulai turun dengan lebatnya.

Ketika sedang asyik memandu, tiba-tiba Hamid perasan kelibat wanita tua sedang berjalan dalam hujan lebat dengan pakaiannya  sedikit basah walaupun berpayung.

Lalu Hamid memperlahankan kenderaan lalu mengarahkan pembantunya Razif membuka tingkap dan mempelawa wanita itu naik.

“Assalamualaikum kak, nak tumpang? Kalau nak tumpang boleh kami hantarkan, hujan lebat ini lalu ia  dijawab oleh wanita itu dengan mengangguk  kepala  tanda setuju.

Kelam kabut Razif turun dan membantu membuka pintu kenderaan untuk memberi wanita itu masuk, lalu memohon maaf atas ketidak selesaan duduk di sebelah jenazah.

Beberapa kali juga Hamid dan Razif cuba bersikap ramah, namun wanita itu lebih banyak tersenyum daripada berkata-kata. Setelah hampir lima minit akhirnya wanita itu mengarahkan Hamid berhenti.

“Saya dah sampai, rumah dekat belakang kedai runcit itu saja. Terima kasih ya sebab sudi tumpangkan saya,” kata wanita tersebut sambil melangkah keluar dari van.

“Dekat sini rupanya rumah kak. kalau macam itu dekat sajalah rumah jenazah yang kami hendak hantar ni pun sebelah itu saja, kak kenalkah dengan arwah ni? tanya Razif

Setelah mengucapkan selamat tinggal, Hamid terus memandu dan tiba di rumah si mati yang memang tidak jauh dengan rumah wanita tadi, hanya kira-kira 300 meter.

Ketika itulah segalanya bermula. Sebaik sahaja jenazah dibawa ke dalam rumah beberapa waris dan ahli keluarga arwah lantas membuka kafan untuk tatapan terakhir sebelum dikebumikan malam nanti.

Jantung Hamid dan Razif berdegup kencang secara tiba-tiba mata mereka terpaku ke wajah jenazah yang baru dibuka. Memang sah!, wajah jenazah tidak ubah seperti wanita ditumpangkan mereka tadi.

Dengan tidak semena-mena, tubuh Razif mula menggigil perlahan, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, seperti ingin sahaja berlari keluar dari rumah tersebut, namun dia masih waras.

Keadaan Hamid juga sama sepertinya, wajah telah berubah pucat sepertinya. Tanpa mahu berlengah lagi mereka menyerahkan barang tinggalan si mati, lalu segera meminta izin beransur pulang.

 

HAMID dan Razif tidak mungkin melupakan pengalaman ngeri diganggu roh si mati

Sekali lagi perkara pelik berlaku apabila Hamid menghidup enjin kenderaan, mereka terpandang kelibat wanita sama berdiri di pintu dapur sambil tersenyum dan melambai seolah mengucapkan selamat jalan.

Pucat muka mereka berdua kerana wanita separuh umur yang dilihat adalah wanita sama menumpang kenderaan mereka di dalam hujan tadi,

Dengan jelas mereka melihat wajah wanita yang nampak bersih sambil tersenyum seolah-olah sedang mengucapkan terima kasih kerana ‘membawanya’ pulang ke rumah.

Dengan wajah pucat dan menggigil, Hamid pantas menolak gear dan memecut sedang Razif pula tidak mampu berkata seperti kelu lidah melihat realiti yang terjadi di depan mata.

Sepanjang perjalanan pulang mereka banyak mendiamkan diri., kerana kejadian itu benar-benar telah meninggalkan seribu satu persoalan dan kejutan nyata yang dihijab mata melihat roh sebelum  pulang ke alam barzakh.

Leave a Reply