DBKL, Polis jalankan operasi bersepadu pantau pematuhan SOP

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR / Pic


ANTARA Pub yang diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan semalam di Ibu Kota

GERAK kerja bersepadu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjayakan Operasi Bersepadu bagi Pemantauan dan Tindakan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) selama tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam hantaran di Facebook Rasmi DBKL memaklumkan, kira-kira 10 jenis premis perniagaan telah dibuat pemeriksaan mengejut melibatkan premis perniagaan restoran, bar, dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PPN.

“Melalui operasi tersebut, maka tindakan penguatkuasaan turut diambil termasuk menutup dua buah premis serta merta (sealed) yang dikendalikan warganegara asing menerusi Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,

“Manakala empat notis kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dikeluarkan terhadap pemilik / individu melanggar peraturan digariskan Majlis Keselamatan Negara.

“DBKL turut keluarkan 17 notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 kepada pemilik dan indvidu yang bekerja mengendalikan tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan,” katanya hari ini.

Katanya, Polis Dang Wangi mengeluarkan pelbagai jenis kompaun kesalahan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kepada individu dan pemilik premis.

Dalam pada itu, DBKL berkata, kerjasama dalam operasi bersepadu ini akan diterus dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa, SOP dan peraturan yang ditetapkan pihak DBKL, PDRM dan MKN.

Operasi tersebut bermula pukul 10 malam tadi dan berakhir awal pagi ini telah dijalankan di sekitar pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Leave a Reply