Pembaharuan PBB untuk keberkesanan fungsi sebagai badan dunia – PM

Hebahkan !!!

SYAHIDI BAKAR

DATUK Seri Ismail Sabri menyampaikan ucapan secara rakaman di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76, tahun ini. 

 

MALAYSIA optimis terhadap perlunya satu pembaharuan dilakukan untuk memperkukuh keberkesanan fungsi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai badan dunia yang kompeten mendepani perubahan sejak kewujudannya 75 tahun dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembaharuan juga sangat diperlukan bagi menjadikan badan dunia itu lebih telus dan memiliki kredibiliti untuk berfungsi efektif bagi memastikan aspek keselamatan dan kemakmuran dijaga.

“Untuk itu (capai objektif pembaharuan) kita semua negara anggota PBB perlulah berperanan dan mesti bekerjasama dalam mereformasi organisasi.

“Kita berharap negara anggota komited dan tunjukkan keterbukaan, fleksibiliti dan keazaman politik demi kepentingan keamanan, keselamatan dan kemakmuran antarabangsa,” kata beliau dalam ucapan sulungnya sempena Debat Umum Sesi ke-76, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, hari ini.

Semasa menyampaikan ucapan dibuat secara rakaman, Perdana Menteri turut sama menegaskan perlunya PBB bergerak seiring dengan kepantasan yang dialami perubahan dunia untuk mendepani setiap krisis yang tidak dijangka.

Cadangan pembaharuan dibangkitkan oleh Malaysia juga dilihat relevan dan selari keperluan semasa dunia memandangkan PBB ditubuh pada 1945 selepas Perang Dunia Ke-2, memerlukan nafas baharu yang lebih segar dan dominan untuk berfungsi jitu mengawal selia keselamatan dunia.

Faktor ini dilihat penting bagi mengelak monopoli berterusan kuasa besar terutama lima negara kuasa veto dalam menentukan hala tuju keamanan dan kemakmuran dunia.

Leave a Reply