Vaksin Tak Lengkap Tak Boleh Naik Feri KeLangkawi

Hebahkan !!!

ALOR SETAR – Seorang individu dihalang menggunakan perkhidmatan feri penumpang di Terminal Feri Kuala Kedah untuk ke Langkawi selepas dikesan tidak lengkap vaksinasi pada Khamis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara tersebut dikesan semasa pemeriksaan rapi yang dilakukan selaras dengan kebenaran yang diberikan untuk sektor pelancongan melalui gelembung pelancongan domestik.

Menurutnya, terminal itu juga telah kembali beroperasi pada Khamis selepas berhenti operasi sejak lebih dua minggu lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kawasan Kuala Kedah.

“Seawal jam 10.40 pagi, penumpang perkhidmatan feri Kuala Kedah yang terdiri daripada pelancong yang ingin ke Pulau Langkawi mula memasuki kawasan terminal feri.

“Sepanjang pemantau hari ini, hanya seorang individu yang dikesan tidak lengkap vaksinasi dan telah dihalang untuk menggunakan perkhidmatan feri penumpang ke Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, proses saringan kesihatan dan Covid-19 telah dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, secara keseluruhan beliau menyifatkan pengurusan perkhidmatan feri ke Langkawi berjalan lancar dan terkawal mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tiada berlaku kesesakan luar jangka sepanjang proses kemasukan penumpang ke dalam feri pada hari pertama pengoperasian Terminal Feri Kuala Kedah.

“PDRM kontinjen Kedah mengucapkan terima kasih kepada semua pelancong yang telah mematuhi SOP dan memberikan kerjasama kepada semua petugas,” katanya.

Katanya, penghargaan juga diberikan kepada semua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), petugas perkhidmatan feri dan pengusaha tempat letak kereta yang telah memberikan perkhidmatan dan kerjasama terbaik dalam memastikan kelancaran pengoperasian di Terminal Feri Kuala Kedah.

Leave a Reply