Polis tahan pegawai kanan SPRM disyaki terlibat kes curi barang kes

Hebahkan !!!


KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa, selepas disyaki terlibat dalam kes curi barang kes bernilai AS$6 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tangkapan dilakukan bagi tujuan siasatan berhubung kesalahan memiliki dadah berbahaya dan memiliki senjata api serta peluru.

“Sebanyak dua kertas siasatan telah dibuka berhubung tangkapan ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Sebelum itu, SPRM mengesahkan telah menahan tiga pegawainya dan telah direman enam hari bermula Selasa sehingga Ahad ini.

SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

Susulan itu, pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya juga sudah meminta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM mempercepatkan siasatan kes, selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.

Kata Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada.

Leave a Reply