Penjawat awam bakal berdepan tindakan tatatertib jima enggan divaksin

Hebahkan !!!
Foto FB Khairy Jamaluddin

  

KUALA LUMPUR – Para penjawat awam bakal berdepan tindakan tatatertib sekiranya enggan mengambil vaksin Covid-19 tanpa alasan yang kukuh.

Perkara itu terkandung dalam cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan berhubung syor mewajibkan pengambilan vaksin ke atas kakitangan awam.

“Langkah wajib vaksinasi itu adalah antara cadangan yang akan dibawa JPA kepada MKN untuk diputuskan.

“Secara dasarnya, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” katanya dalam satu kenyataan semalam.

JPA memaklumkan bahawa langkah itu adalah bagi memberi jaminan dan meningkatkan keyakinan dalam kalangan orang awam yang berurusan di bangunan kerajaan.

Bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

“Justeru, semua penjawat awam perlu mematuhi peraturan sedia ada termasuk dalam urusan kehadiran bertugas di pejabat apabila mereka diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.

“Kita hendaklah melindungi diri sebelum kita mahu melindungi orang lain,” katanya.

JPA berpendapat, beberapa langkah boleh diambil kementerian atau jabatan masing-masing berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan penjawat awam secara keseluruhannya dapat mengambil vaksin.

“Setakat ini, jumlah peratusan penjawat awam yang mengambil vaksin sudah mencecah hampir 98 peratus berbanding kelompok mereka yang belum berbuat demikian.

“Namun ia perlu diberikan keutamaan bagi memberikan keyakinan dan jaminan untuk orang ramai datang berurusan dengan penjawat awam di premis kerajaan, di samping usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman sebelum ini mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berpendapat kos saringan berkala itu perlu ditanggung penjawat awam kerana kerajaan tidak patut dibebankan dengan perbelanjaan tambahan berkenaan.

– BebasNews

Leave a Reply