Peragut berjaya ditahan, selepas dilanggar kereta suami mangsa

Hebahkan !!!

KEADAAN motosikal peragut selepas dilanggar dengan kereta oleh suami mangsa

TINDAKAN seorang penunggang motosikal meragut beg tangan wanita yang baru turun daripada bas ekspres mengundang padah, apabila suspek dilanggar kereta dipandu suami mangsa di tepi jalan di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa yang merupakan pembantu perubatan berusia 29 tahun baru tiba dari Negeri Sembilan dan turun menunggu suaminya di tepi jalan.

“Tiba-tiba datang seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal meragut beg tangan mangsa.

“Suami mangsa yang kebetulan tiba di tempat kejadian melihatnya dan bertindak melanggar motosikal suspek,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Suspek bagaimanapun, kata Abdul Rahim ,cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek berusia 29 tahun berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam lain yang kebetulan melalui tempat kejadian.

“Dia kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg pinggang milik suspek menjumpai peket lut sinar yang mengandungi serbuk kristal yang disyaki dadah.

Tambahnya, mangsa tidak alami kecederaan namun suaminya luka pada bahagian telinga kiri akibat pergelutan itu.

“Suspek pula luka pada tangan dan lutut serta dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk rawatan,” katanya sambil memuji dan menghargai tindakan berani suami mangsa sehingga penjenayah dapat ditangkap.

Suspek yang bekerja sebagai mekanik didapati mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Saya nasihatkan orang ramai yang menaiki bas ekspres tidak turun di tempat sunyi dan berseorangan agar dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini kerana penjenayah hanya menunggu peluang serta ruang untuk melakukan jenayah,” katanya.

Leave a Reply