Alat berkhatan seminit, rangkul pingat emas antarabangsa

Hebahkan !!!
ALAT berkhatan dalam seminit ciptaan Dr. Kuang Chong merangkul pingat emas dan anugerah khas menerusi 6th Annual International Invention Competition in Canada (iCAN) 2021 .
CIPTAAN alat berkhatan yang mampu diselesaikan dalam masa seminit, berjaya merangkul pingat emas dan anugerah khas menerusi 6th Annual International Invention Competition in Canada (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada pada 28 Ogos lalu.
Alat ciptaan Pakar Bedah Plastik, Datuk Dr Siew Kuang Chong , itu menerima pengiktirafan menerusi ciptaan peralatan berkhatan paling cepat, selamat dan kos paling rendah di dunia.

Dr. Kuang Chong,78, tidak menyangka memenangi pingat emas bagi produk dinamakan Circumstar-1 serta dipilih sebagai antara 10 ciptaan terbaik dalam kalangan 700 penyertaan daripada seluruh dunia termasuk 97 dari negara ini.

“Pertandingan ini anjuran Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS). Saya menghantar penyertaan secara dalam talian.

“Saya mengambil masa kira-kira sembilan tahun untuk menyiapkannya dan menambah baik peralatan berkhatan sedia ada dan ini adalah produk buatan tempatan 100 peratus,” katanya ketika ditemui oleh media baru-baru ini.

Menurut Dr.  Kuang Chong, alat tersebut hanya mengambil masa seminit untuk menyelesaikan proses khatan berbanding peralatan lain diguna sebelum ini yang mengambil masa tiga minit dan tanpa jahitan.

Katanya, penggunaan peralatan tersebut selamat sepenuhnya dan proses penyembuhannya juga cepat dalam tempoh tiga minggu berbanding kebiasaannya sebulan.

Selain itu, pada Mac lalu, beliau turut meraih pingat emas menerusi Salon International des Inventions de Genève 2021 di Switzerland bagi ciptaan sama.

Sehingga kini, beliau berjaya merangkul 49 anugerah bagi inovasinya termasuk 25 pingat emas dan 11 pingat khas bagi produk pengguna dan peralatan perubatan dalam pertandingan termasuk diadakan di peringkat nasional selain di China, Hong Kong, Japan dan Thailand.

Anak kelahiran Johor itu berharap inisiatif dilakukannya menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berusaha mencipta produk inovasi yang berguna dan berdaya maju kepada masyarakat.

Leave a Reply