Nasib 37 pertuduhan Abdul Latif, diketahui 7 November depan

Hebahkan !!!

NASIB dihadapi bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi sama ada perlu membela diri atau bebas daripada 37 pertuduhan dihadapinya, akan ditentukan pada 7 November depan.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar menetapkan tarikh berkenaan untuk membuat keputusan selepas mendengar hujahan barisan pendakwaan serta pembelaan dalam prosiding rayuan untuk kes berkenaan, hari ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang membebas dan melepaskan Abdul Latif dari sebarang pertuduhan kes.

Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya berkata, Mahkamah Sesyen sebelum ini telah terkhilaf dalam keputusannya.

Ini kerana katanya, dalam kes tersebut Abdul Latif telah mengakui beliau menerima kesemua wang bernilai RM16 juta tersebut.

Beliau mengatakan ia adalah pinjaman daripada Amir (Perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub) yang mana pihak pendakwaan berhujah bahawa pinjaman itu dari pemaju-pemaju perumahan yang ingin mendapatkan pelepasan Bumiputera, yang mana Abdul Latif ada peranannya di dalam membuat pelepasan itu.

“Jika diambil kira hal keadaan kes ini, Abdul Latif bersubahat dengan responden pertama (Amir) dan kami tidak perlu membuktikan responden kedua (Abdul Latif) ada menerima duit, apa yang perlu kami buktikan adanya pakatan jenayah antara Amir dan ada pertolongan daripada Abdul Latif untuk Amir melakukan kesalahan tersebut.

“Hakim bicara telah terkhilaf dalam pemahaman undang-undang yang ada dan gagal menimbang keterangan penting dalam alasan penghakiman,” katanya.

Pada 21 April 2019, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan Abdul Latif daripada semua 37 pertuduhan rasuah serta kes bersabit Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) yang melibatkan jumlah lebih RM30 juta.

Selain itu, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim, dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin turut dilepas dan dibebas daripada semua pertuduhan dikenakan terhadap mereka.

Selain Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan juga dibarisi oleh Ahmad Akram Gharib, Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong, manakala tertuduh pula diwakili peguam bela, Datuk Salehuddin Saidin dan Datuk Hasnal Redzua Merican.

Leave a Reply