Zizi Kirana Sah Bergelar Isteri Yusuf Bahrin

Hebahkan !!!

HANYA dengan sekali lafaz, penyanyi Zizi Kirana, 36,  dan pelakon Yusuf Bahrin, 29, selamat disatukan sebagai pasangan suami isteri hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.

Pada majlis ijabkabul yang berlangsung di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, sekitar jam 10.40 pagi itu, Zizi nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, menerima mas kahwin berupa senaskah Al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan. Sementara jumlah wang hantaran tidak didedahkan.

Zizi yang mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan ditatarias oleh jurusolek terkenal Datuk Alha Alfa meluahkan rasa syukur apabila majlis yang diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat itu berjalan lancar.

“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar. Sebenarnya hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.

“Semuanya dilakukan saat-saat akhir. Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan. Doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah,” katanya.

Mengulas tentang majlis resepsi, penyanyi Eh! itu berhasrat untuk mengadakan dua majlis melibatkan keluarganya di Sabah dan diikuti Melaka daripada pihak keluarga Yusuf.

“Insya-ALLAH kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” katanya.

Pasangan ini berkenalan ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini, namun hanya mula rapat serta saling mengenali hati budi masing-masing sejak dua bulan lalu.

“Saya selesa berkawan dengannya dan nampak dia ikhlas dalam perhubungan ini. Hujung bulan Ogos kami rancang untuk terus berkahwin. Alhamdulillah keluarga pun merestui hubungan kami ini, jadi rasanya tak perlulah nak tunggu lama-lama,”katanya.

Berkongsi perancangan bulan madu dan anak, Zizi berkata, dia dan Yusuf hanya menyerahkan pada rezeki.

“Tiada perancangan bulan madu sebab Isnin ini saya dah bekerja macam biasa. Cuma kita ada rancang untuk tunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka.

“Tentang anak, kalau ada rezeki anak kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup,” akuinya.

Spekulasi hubungan cinta pasangan itu mula mencuri perhatian peminat apabila Yusuf tersasul memanggil Zizi dengan panggilan sayang dalam sesi langsung Instagram mereka baru-baru ini.

Leave a Reply