Lebih satu tan sampah ditinggalkan pengunjung, selepas beriadah

Hebahkan !!!

AMAT mendukacitakan! Lebih 1 tan sampah ditinggalkan pengunjung terpaksa dikutip di 22 kawasan peranginan dan tumpuan ramai di Terengganu selepas ia memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Jumaat.

Ketua Sukarelawan Geng Plastik Ija, Dr Mohamad Ariff Hafizi berkata, sejumlah 314 plastik sampah seberat 1,081 tan itu dikumpul 131 peserta yang menjalankan tugas sukarelawan sempena World Cleanup Day di kawasan pantai tumpuan ramai bermula pukul 7.30 pagi, Sabtu.

“Antara sampah terkumpul paling banyak ialah botol minuman termasuk bungkusan makanan ditinggalkan di merata tempat di sekitar kawasan pantai di negeri ini.

“Kami percaya sampah sarap ini ditinggal oleh pengunjung sejak Jumaat setelah Terengganu beralih Fasa 3 PPN serta kelonggaran diberikan untuk taman rekreasi tumpuan awam,” katanya.

Antara lokasi terlibat dalam kerja pembersihan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu; Pantai Chagar Hutan, Kemaman selain Pantai Jambu Bongkok, Marang; Pantai Air Tawar, Besut serta beberapa lagi pantai tumpuan pengunjung.

Menurut Dr Mohamad Ariff, aktiviti pembersihan pantai menjadi rutin pasukan sukarelawan sedia ada apabila saban minggu memastikan kawasan pantai dipulihara demi keseimbangan ekosistem.

“Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini dikuatkuasa kerja pembersihan terhenti seketika dan kini kembali diterus semula dengan patuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Beberapa tinjauan di kawasan peranginan di sini ketika PKP mendapati hampir kesemua kawasan berkenaan bersih daripada sampah. Namun ia bertukar menjadi medan sampah setelah lokasi dibuka kepada pengunjung, ” katanya kecewa dengan mentaliti masyarakat apabila tinggalkan sampah sarap begitu sahaja,.

Dr Mohamad Ariff yang juga merupakan Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah itu mengakui, kesedaran sivik masyarakat awam di negara ini masih di tahap rendah menyebabkan masalah pembuangan sampah masih menjadi isu yang membelenggu rakyat.

Katanya, Ogos lalu, ketika pantai masih bersih dan belum dibuka kepada orang ramai terdapat seekor penyu mendarat untuk bertelur di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, suatu fenomena jarang berlaku.

“Jika segelintir kita masih memgekalkan sikap tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata-rata, sudah tentu fenomena begini tidak akan berlaku lagi malahan sampah ditinggalkan menjadi ancaman kepada spesies hidupan marin yang hampir pupus itu,” katanya.

Leave a Reply