14 pemandu 4×4 ‘bersantai’ di hutan simpanan ditangkap

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Seramai 14 pemandu kenderaan pacuan empat roda telah ditahan selepas didapati menceroboh kawasan Hutan Simpan Petuang, Hulu Terengganu.

Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu berkata, kesemua lelaki berusia 21 hingga 65 ditahan pada pukul 11.30 pagi apabila memasuki hutan simpanan tanpa kebenaran meskipun mendakwa tujuan mereka adalah untuk menikmati alam sekitar sempena cuti hujung minggu.

Pengarahnya, Roslan Rani, berkata operasi dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bersama anggota pasukan Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat susulan aduan terdapat pencerobohan di kawasan berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, mereka sedang berehat di tepi sungai berhampiran dan mendakwa memasuki kawasan hutan simpan ini untuk menikmati keindahan alam sempena cuti hujung minggu.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut manakala kenderaan yang ada turut disita,” katanya, lapor Berita harian.

Roslan berkata, pihaknya sebelum ini menahan 13 penunggang motosikal ‘motocross’ di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada Khamis lalu kerana kesalahan sama.

Katanya, pihaknya memandang serius isu pencerobohan memandangkan kawasan hutan simpan kekal tidak boleh diceroboh tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Kita bukan hanya menahan mereka yang mencuri hasil hutan yang ada tetapi menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak masuk ke dalam hutan simpan tanpa kebenaran.

“Kesemua yang ditahan ini disiasat mengikut Seksyen 47 (1) (c) Enakmen Perhutanan Negara (Penerimaan-pakai) 1986 Negeri Terengganu yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kes.

bebasnews/bhonline

Leave a Reply