Suzanna wanita pertama Asia Tenggara dianugerah Ikon Wanita Dunia Carilamat

Hebahkan !!!

PENGIKTIRAFAN diraih oleh Komander Dr Suzanna Razali, sebagai wanita pertama Asia Tenggara dianugerahkan gelaran Ikon Wanita Dunia Carilamat peringkat antarabangsa, ternyata telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menggalas jawatan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), kejayaan dilakar wanita berusia 40 tahun ini wajar dijadikan inspirasi oleh petugas keselamatan.

Lebih penting, keupayaan Suzanna menarik perhatian International Maritime Rescue Federation’ (IMRF) 2021 hasil pencapaian dan prestasi cemerlangnya di dalam dan luar negara ternyata membuka mata banyak pihak seantero dunia.

“Di samping itu, kredibiliti Suzanna tersenarai dalam saingan akhir kategori ‘Women in SAR” melayakkan beliau dianugerahkan gelaran berprestij itu,” kata Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia menerusi kenyataan medianya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, anugerah diterima Suzzana daripada IMRF 2021 bertepatan peranannya sebagai jurulatih dalam bidang Carilamat Maritim sejak 2011 dan menerima sijil kepujian atas pembentangan terbaik sewaktu kursus di Jepun, 2018.

Terkini, Suzanna turut menjadi panel pembentang dalam bidang sama sempena ‘International Women’s Day’ pada 8 Mac lalu.

Bergelar wanita pertama Asia Tenggara dinobatkan Ikon Wanita Dunia Carilamat Antarabangsa, menjadi penanda aras penting mengukur kredibiliti golongan wanita di Malaysia khususnya mengisi sasaran kuota 30 peratus wanita di peringkat peggubalan dasar dan peneraju institusi .

Leave a Reply