Walaupun buta, 3 anak pasangan OKU mampu ke menara gading

Hebahkan !!!

 

BAK kata pepatah, ‘Alah bisa tegal biasa’, begitulah pengorbanan dan kesusahan pasangan orang kurang upaya (OKU) ini tidak pernah lelah menumpuh hidup saban hari mencari rezeki demi membesarkan tiga anak mereka secukup dan semampunya.

Kesukaran hidup pasangan buta, Azmi Abd Manaf, 50, dan isteri, Noraini Majid, 51, membesarkan tiga anak hanya bermodal jualan minyak angin dan tisu, ternyata berjaya membuahkan sinar masa depan lebih cerah.

Kejayaan ketiga-tiga anak pasangan ini melanjutkan pengajian ke menara gading seolahnya terawat segala perit membesarkan Mohd Afiq Nazhan Azmi, 26, Nur Azra Nadhirah (21) dan Nur Atihirah Nadhilah (19).

Mohd Afiq adalah graduan Ijazah Perniagaan di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Puncak Alam, dan
Nur Azra kini menuntut jurusan Diploma Perniagaan di UiTM Machang manakala Nur Atihirah pula mengikuti sesi pengajian Diploma Kejururawatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.

Menurut Azmi, kedua matanya sakit dan rabun sejak kecil lagi sebelum lama-kelamaan buta sepenuhnya menyebabkan dia terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.

“Saya berhijrah ke Kuala Lumpur 25 tahun lalu dan melakukan pelbagai kerja sebelum bertemu jodoh, berkahwin seterusnya dikurniakan tiga zuriat yang cukup sifatnya.

“Di Ibu Kota, saya berniaga minyak angin dan tisu di kebanyakkan pasar malam seperti Jalan Tengku Abdul Rahman, selain Setiawangsa dan Chow Kit untuk menyara kehidupan kami sehinggalah tiga anak berjaya ke universiti,” katanya.

Secara purata, kata Azmi, hasil jualan tidak menentu sekitar RM30 sehari sementara isteri pula buta sebelah mata kanan hanya suri rumah sepenuh masa.

Sebagai OKU diakuinya, memang memerlukan pertolongan orang lain tetapi beliau tidak boleh malas atau hanya menunggu sahaja bantuan kerana rezeki tidak turun dari langit.

“Saya dan isteri setiap seorang turut menerima bantuan RM450 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan dan wang itu banyak membantu meringankan beban kewangan kami,’ jelasnya.

Sementara itu, bagi Nur Azra, mereka bertiga berasa bangga mempunyai ibu bapa buta namun masih berupaya membesarkan anak-anak dengan secukupnya sehingga berjaya ke menara gading walaupun kekurangan fizikal.

“Kami tidak pernah malu untuk mengaku mereka adalah ibu bapa kami malah berbesar hati dan kini sudah dewasa serta tiba giliran kami membalas jasa menjaga mereka pula,” kata Nur Azra yang tidak sabar untuk memasuki alam pekerjaan dengan tekad membantu kehidupan keluarga.

Bagi Mohd. Afiq, pekerjaan sebagai penghabtar makanan dilakukannya demi memastikan perbelanjaan mereka sekeluarga mencukupi sementara menunggu peluang pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan dimilikinya.

Anak lelaki tunggal pasangan istimewa ini bertegas tidak mahu berkongsi nombor akaun bank untuk salur sumbangan, namun setelah dijelaskan niat sebenarnya bantuan ikhlas bukan meminta-minta, dia akhirnya beralah lalu meminta sumbangan disalurkan terus kepada ibu dan bapanya.

Bagi yang bermurah hati dan ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ikhlas ke akaun Azmi Abd Manaf, Bank Islam 14041-02052-5548 atau hubungi 013-9701431.

Leave a Reply