’10 sen pun saya terima’

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Masih terasa kesan serangan angin ahmar pada 2014, ditambah impak pandemik COVID-19 yang menjejaskan mata pencarian sejak tahun lalu, bekas vokalis Wings, Mel bergelut meneruskan hidup.

Tular dalam media sosial baru-baru ini, Mel mengaku buntu memikirkan masa depan apabila satu persatu ujian mendatang.

Namun, Mel atau nama penuh, Ismail Zainuddin, 56, belum sampai ke tahap mengibarkan bendera putih di rumah bagi meminta pertolongan, melainkan bantuan datang daripada pihak yang tahu dirinya dalam kesusahan.

“Kalau hendak kata diri ini susah, saya percaya ramai di luar sana lebih sukar. Golongan seni macam saya tidak terkecuali… Mungkin ada yang segan hendak tampil ke hadapan.

“Pandemik COVID-19 benar-benar menguji. Hendak berceramah dan menyanyi pun tidak boleh. Pendapatan sudah tiada.

“Sebagai manusia biasa, saya mengadu kepada Tuhan,” katanya kepada BH Online.

Sejak sedekad lalu, Mel lebih banyak menyertai kegiatan dakwah selain bergantung rezeki kepada dunia muzik.

Anak sulung Mel, Ewal meneruskan legasi seninya sebagai penyanyi. Ewal atau nama penuh, Ikhwal Hafiz Ismail pernah meraih tempat ketiga pada Akademi Fantasia (AF) 2014 dan menjadi vokalis kumpulan Kristal.

Mel bersyukur ada insan prihatin tampil menghulurkan bantuan.

“Ada sedikit rezeki datang hasil pertolongan mereka yang baik hati. Setakat mana saya dapat, namun, saya bersyukur.

“Apa yang ada depan mata, cukup makan. Bolehlah beli susu untuk cucu. Belanja ubat pun ada yang mahal,” katanya.

Bapa dua anak ini mengaku, jika diikutkan rasa segan, mungkin kepayahan ditanggung terus melarat.

“Kalau ada yang hendak sumbang 10 sen pun saya terima dengan hati terbuka.

“Menantu saya sudah dibuang kerja akibat pandemik. Anak perempuan saya pula tidak bekerja. Mereka ada dua anak.

“Selepas apa yang terjadi, saya dan isteri mengajak mereka tinggal bersama di Bukit Jalil. Saya pula tidak mahu susahkan Ewal yang turut terkena impak penularan COVID-19 dan bakal berkahwin akhir tahun ini,” katanya.

Mengenai penyakit angin ahmar, Mel berkata, biarpun sudah pulih kira-kira dua tahun lalu, percakapannya masih perlahan.

“Jalan pun ada ketikanya terhuyung-hayang. Sampai sekarang dan tidak diketahui punca, degupan jantung saya pun tak macam orang normal.

“Saya pula tidak suka tunjuk kalau sakit. Sebab itu, saya nampak macam sihat. Hakikatnya, menahan sakit. Kalau ada kesempatan, saya juga banyak berjalan kaki di sekitar kawasan rumah,” katanya.

Mel berkata, ketika diserang angin ahmar, wang simpanan habis digunakan untuk rawatan.

“Saya habis lebih RM15,000 untuk merawat angin ahmar. Bukan setakat perubatan moden, cara tradisional pun saya usahakan di merata-rata tempat,” katanya.

Mel percaya sakit adalah penghapus dosa.

“Namun, usah cakap kita tiada dosa. Kita ini masih berdosa. Saya sendiri pun banyak dosa. Kehadiran COVID-19 ini bagai isyarat untuk kita berubah.

“Dahulu ketika sakit, saya merangkak dari kamar tidur ke bilik air. Hendak membetulkan kedudukan getah paip air sahaja mengambil masa 30 minit, belum mandi lagi,” katanya.

Mel yang berkahwin dengan Rose Maini Othman berkata, dia masih membuat pemeriksaan berkala di Hospital Putrajaya.

“Dua bulan sekali, saya buat pemeriksaan termasuk kandungan darah di hospital,” katanya.

Ditanya apakah dia pernah memohon bantuan pusat zakat atau pejabat Baitumal, Mel mengaku ada memohon tetapi masih menunggu keputusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply