Gol Ronaldo tak cukup selamatkan Man U; Barca hambar

Hebahkan !!!

LONDON: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol dalam perlawanan kedua berturut-turut dalam jersi Manchester United, tetapi gagal membantu kelab itu mengelak kekalahan mengejut kepada pasukan kerdil Young Boys, sementara Barcelona, yang beraksi tanpa pemain azimat Lionel Messi kalah besar kepada Bayern Munich di kandang sendiri, pada malam pembuka tirai Liga Juara-Juara Eropah yang penuh dramatik.

United, yang mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain selepas Aaron Wan-Bissaka dilayang kad merah, membuka jaringan ke atas juara Switzerland itu melalui gol Ronaldo.

Namun Young Boys mengambil kesempatan kelebihan pemain untuk mencari gol penyamaan dan pada minit ke-95, meraih gol kemenangan angkara kesilapan yang dilakukan oleh Jesse Lingard.

Lingard, meskipun tidak berada dalam bahaya, membuat hantaran lemah kepada David de Gea di gawang United dan bola disambar oleh Jordan Siebatcheu yang meleret bola ke penjuru gawang melepasi de Gea.

Kapten United Harry Maguire mempertahankan rakan sepasukannya itu.

”Inilah bola sepak… ada yang melakukan kesilapan. Saya pasti semua pemain yang beraksi melakukan kesilapan. Saya yakin Lingard akan bangkit dari keadaan ini.”

Di Nou Camp pula, Barcelona merasakan ketiadaan Messi selepas ia ketandusan idea dan kreativiti dalam pertemuan dengan Bayern.

Thomas Muller menjaringkan satu gol dan Robert Lewandowski menjaringkan dua gol untuk membantu Bayern memenangi perlawanan berat sebelah itu 3-0.

Sekitar 13 bulan lalu, Bayern menjaringkan lapan gol untuk membelasah Barcelona 8-2 dalam suku akhir pertandingan yang sama.

Kelmarin, walaupun jumlah jaringan lebih kecil, Bayern menunjukkan jurang antara kededua kelab itu kian meluas.

Barcelona bergelut untuk menandingi kehandalan lawan dan terpaksa lebih banyak bertahan.

Bercakap kepada media selepas perlawanan itu, pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique, berkata keadaan itu adalah realiti yang buruk bagi kelab tersebut.

”Ini adalah keadaannya yang sebenar,” ujar beliau.

Dalam pada itu, juara bertahan Chelsea memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan selepas ia menewaskan Zenit St Petersburg 1-0.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Romelu Lukaku di pertengahan separuh masa kedua, untuk menjamin tiga mata maksimum bagi anak didik Thomas Tuchel.

Juventus, yang beraksi tanpa Ronaldo. turut mengutip mata penuh selepas menewaskan Malmo 3-0. – Agensi berita.

 

Leave a Reply