Penjara Israel ‘Neraka’ bagi rakyat Palestin

Hebahkan !!!

                  KEADAAN sekitar penjara Israel yang menempatkan ribuan tahanan Palestin

 

ENAM orang tahanan Palestin yang berjaya melarikan diri dari Penjara Gilbao pada 6 September lalu, benar-benar memberi tamparan hebat kepada rejim Zionis.

Menurut laporan Al-Jazeera, keenam-enam mereka menggali lubang pada sinki di dalam penjara selama berbulan-bulan, sebelum berjaya meloloskan diri.

Sejak itu, polis, tentera dan ejen Shin Bet telah bergabung selain ‘bersenjatakan’ anjing pengesan bagi memburu tahanan Palestin berkenaan.

Namun pada Sabtu lalu (11 September), polis Israel memberitahu kejayaan menahan empat daripada mereka berhampiran Nazareth dan Umm al-Ghanam, manakala dua lagi masih gagal dikesan.

Sepanjang minggu lalu, penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur bersorak meraikan kejayaan tahanan itu.

Menurut kumpulan hak asasi tahanan, Addameer, ketika ini terdapat 4,650 tahanan Palestin di penjara Israel.

Penduduk Palestin menganggap mereka sebagai tahanan politik sebagai usaha menutup suara Palestin menentang penjajahan rejim Zionis.

Sejak awal 2021, pasukan tentera Israel menahan beribu-ribu penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pada Mei lalu, menyaksikan jumlah tertinggi, dengan 3,100 orang Palestin ditahan Israel.

Leave a Reply