‘Fail rayuan tidak cerminkan konsep Keluarga Malaysia’

Hebahkan !!!

Oleh Mahani Ishak

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan mahkamah membenarkan kewarganegaraan automatik kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, disifatkan sebagai tidak mencerminkan konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Pensyarah di Jabatan Undang-Undang Sivil, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nor Hafizah Mohd Badrol Afandi, berkata keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September lalu mencerminkan konsep ‘Keluarga Malaysia’

“Namun apabila Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, memaklumkan notis rayuan kerajaan sudah dikemukakan, ia seolah-olah bertentangan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’, selain menggambarkan kesaksamaan gender seakan-akan tiada penyelesaian, terutama bagi wanita berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara.

“Selain itu, ia boleh memberi implikasi hak terutama apabila berlaku perceraian sekiranya ibu pulang ke tanah air, tetapi berdepan masalah anak tiada kewarganegaraan Malaysia. Pada saya, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir adalah jelas dan disifatkan ‘landmark decision’.

“Ia selari dengan pendekatan holistik serta menyeluruh terhadap semua aspek. Secara asas, keputusan itu berupaya memperkukuh institusi keluarga,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Sesi 2019 hingga 2022, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal turut terkilan dengan langkah kerajaan memfailkan notis rayuan walaupun tiga menteri dilapor menyokong keputusan mahkamah itu secara terbuka.

“Seelok-eloknya, Jabatan Peguam Negara tidak merayu kerana keadilan telah dicapai untuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply