Aishah alami 20% kerosakan paru-paru angkara Covid-19

Hebahkan !!!

PENYANYI yang popular dengan lagu Camar Yang Pulang, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin mengalami kerosakan 20 peratus pada paru-parunya akibat jangkitan wabak Covid-19.

Lanjutan jangkitan tersebut, Aishah telah dimasukkan ke Hospital Ampang pada hujung Ogos lalu selepas disahkan positif, namun hasil kecekalannya melawan virus membunuh itu, dia akhirnya kembali sihat.

Menurutnya, dia hanya dibenarkan keluar hospital selepas 12 hari bertarung dengan virus maut itu, namun kesannya, kekal sehingga kini dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

“Kini selepas lima hari selepas keluar hospital, Alhamdulillah, paras oksigen, gula dalam darah dan tekanan darah semua okay.

“Namun, saya diberitahu kerosakan pada paru-paru saya alami lebih kurang dalam 20 peratus,” katanya yang berkongsi perkembangan dirinya menerusi akaun Instagramnya, baru-baru ini.

Penyanyi, Aishah pada konsert minggu ke 5 Gegar Vaganza Musim ke 4

 

Menurut Aishah yang juga bergelar juara Gegar Vaganza musim keempat itu, dia bersyukur paras oksigen, gula dalam darah dan tekanan darah yang dalam keadaan baik.

Katanya, walaupun nampak dirinya macam hyper (bertenaga) dan mungkin terlalu hyper, itu sebenarnya dia sedang memaksa diri untuk menjadi lebih bertenaga seperti sediakala.

Dalam pada itu, Aishah menjelaskan, jangkitan Covid-19 bukan sahaja menyerang fizikal, malah mentalnya turut terjejas yang secara langsung memerlukan masa cukup lama untuk pulih sepenuhnya.

Katanya, dia sendiri kurang pasti adakah kesan itu hanya dirinya sahaja yang rasa dan kebiasaannya jika pemikirannya lemah, ia akan dilawan dengan berzikir.

“Traumanya boleh buat kita termenung sahaja. Otak bercelaru dan trauma, kalau saya layan boleh jadi zombie. Kadang-kadang, bila bercakap, pemikiran itu hilang. Sampaikan perkataan pun boleh lupa, macam jadi kurang cerdik pula.

“Alhamdulillah, kesan itu saya lawan dengan sentiasa mengaji dan berzikir. Kalau ikut hati, sedap layan dinding sahaja,” tulisnya.

Aishah turut mengakui cepat keletihan dan sering merasa seperti tidak stabil, cepat penat terutama bila naik turun tangga dan tidak boleh berdiri lama.

“Dari segi fizikal, saya rasa cepat penat, badan rasa melayang, kena cepat-cepat baring.

“Tetapi, saya sangat bersyukur masih berada di sini. Mohon doakan saya pulih sepenuhnya,” tambahnya.

Leave a Reply