Tiket AirAsia ke Langkawi dapat sambutan hebat

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Inisiatif gelembung pelancongan ke Langkawi menyaksikan peningkatan ketara pembelian tiket penerbangan AirAsia, sekali gus membuktikan orang ramai kini bersedia untuk melakukan kembali perjalanan pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata sehingga ini, syarikat penerbangan itu menerima lebih 200,000 tempahan tiket ke Langkawi.

Beliau berkata, pada hari pertama pembukaan tempahan ke Langkawi saja, AirAsia merekodkan penjualan sebanyak 30,000 tiket penerbangan, menunjukkan orang ramai ingin kembali melakukan perjalanan pelancongan dan sentiasa memilih penerbangan sebagai kaedah pengangkutan pilihan.

Gelembung pelancongan ke Langkawi juga, katanya dijangka dapat memberikan keputusan yang positif, sekali gus memberikan peluang untuk lebih banyak destinasi dijadikan sebagai gelembung pelancongan

“Orang ramai masih mahu melakukan perjalanan udara. Ia satu keperluan perjalanan yang sangat diharapkan oleh semua pihak.

“AirAsia sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik dan keselamatan adalah agenda utama kami,” katanya pada sidang media pelancaran penerbangan AirAsia ke Langkawi secara maya hari ini.

Riad berkata, sebagai permulaan, AirAsia Malaysia akan memulakan semula penerbangan Langkawi dengan keseluruhan 90 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali seminggu), Ipoh (tiga kali seminggu) dan Kota Bharu (tiga kali seminggu).

Beliau berkata, lebih banyak laluan dan kekerapan penerbangan akan ditambah dengan permintaan perjalanan yang meningkat sejajar dengan pembukaan semula destinasi percutian lain tidak lama lagi.

Katanya, kumpulan melihat peningkatan jualan tiket ke Langkawi, terutama dengan tambang rendah RM12 dan kombo SNAP bernilai RM99 oleh AirAsia.

Ini, katanya jelas menunjukkan permintaan perjalanan yang tinggi dan AirAsia komited untuk menyokong kerajaan, Tourism Malaysia,Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta semua peserta industri pelancongan untuk menjayakan program ini dengan menawarkan lebih daripada 90 penerbangan mingguan ke Langkawi.

“Dari segi operasi, kami melaksanakan langkah kesihatan dan keselamatan secara meluas dan komprehensif untuk memastikan tetamu dan kakitangan kami terbang dengan selamat.

“Sistem daftar masuk kendiri melalui airasia Super App adalah inovasi terbaharu yang mengintegrasikan data daripada penyedia perkhidmatan kesihatan yang diperakui untuk mengesahkan kelayakan perjalanan berdasarkan sijil ujian dan atau sijil vaksinasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib, berkata tempahan purata hotel di Langkawi sudah mencapai 50 peratus darioada keseluruhan bilik bagi hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Beliau berkata, tempahan yang tinggi bagi hotel empat dan lima bintang ini berdasarkan kepada tawaran yang menarik diberikan kepada pengunjung dan keyakinan mengenai pematuhan SOP.

“Semua pihak mengambil peluang tawaran yang disediakan hotel bertaraf empat dan lima bintang ini. Pelbagai inisiatif disediakan seperti harga bilik yang murah dan pakej menyeluruh yang berbaloi.

“Bagi hotel bertaraf tiga bintang ke bawah pula, kadar tempahan masih rendah sekitar 20 hingga 30 peratus,” katanya.

Nasaruddin berkata, inisiatif AirAsia untuk membuka laluan baharu turut akan membantu meningkatkan potensi Langkawi sebagai destinasi pulau utama di kalangan pelancong domestik.

Beliau berkata, LADA berharap ketibaan pelancong akan membantu memacu ekonomi selain memastikan Langkawi kekal sebagai tempat percutian terkemuka bagi pelancong di seluruh dunia.

Leave a Reply