Usul pemilihan Timbalan Speaker ditangguh hari ini

Hebahkan !!!

PENGUNDIAN usul bagi pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu dijadualkan hari ini, telah ditangguh.

Sesi pengundian menjadi tumpuan ramai itu, bagaimanapun secara sebulat suara telah diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk ditangguhkan.

“Dewan Rakyat sebulat suara melulus usul menangguhkan pemilihan seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang sepatutnya dibuat hari ini.

Usul itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pemilihan pengganti jawatan dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 selama 17 hari mulai semalam.

Dalam pada itu, Wan Junaidi menyatakan Kerajaan akan meminta Perlembagaan Persekutuan bagi menambah seorang lagi timbalan speaker Dewan Rakyat kepada tiga, yang mungkin seorang daripadanya daripada pembangkang.

Pindaan itu katanya akan membabitkan Perkara 57 (1) (b) bagi menambah jumlah timbalan speaker daripada dua kepada tiga orang.

“Walaupun perlembagaan tidak menetapkan siapa layak menjadi timbalan speaker ini kerana ia dipilih ahli Dewan Rakyat, mungkin peraturan boleh dibuat supaya salah seorang timbalan speaker berkenaan dicadangkan dari pihak pembangkang.

“Tidak kisah siapa jadi kerajaan, daripada pihak pembangkang akan wakili seorang timbalan speaker,” kata beliau ketika membentang usul menangguhkan pemilihan seorang timbalan speaker yang sepatutnya dibuat pada hari ini.

Usul berkenaan diluluskan sebulat suara.

“Itulah hasrat kerajaan untuk menangguh (pemilihan timbalan speaker) dan saya sebenarnya sudah berbincang dengan pihak Peguam Negara supaya pindaan ini dibawa kalau dapat di penghujung sesi ini bagi bacaan kali pertama dan diluluskan pada sesi Oktober nanti,” katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi mengemukakan usul itu mengikut peraturan mesyuarat 90 (2) untuk menghentikan peraturan mesyuarat 6 iaitu bagi menangguhkan pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Usul itu kemudian disokong Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika mempengerusikan mesyuarat turut memaklumkan tiada perbahasan bagi usul berkenaan biarpun beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun meminta perbahasan dibuat.

Leave a Reply