BAM terkejut, namun hormati keputusan Jin Wei

Hebahkan !!!

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sangat terkejut dengan keputusan diambil bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei untuk bersara awal, namun akur dengan pilihan beliau atas alasan kesihatan.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk bersara sejak bulan lepas berikutan masalah kesihatan dialaminya.

Beliau berkata, keputusan itu amat menyedihkan buat BAM dan pastinya suatu kehilangan besar namun atas sebab perubatan, BAM menghormati keputusan beliau walaupun sedang membentuk pasukan baharu.

“Apabila saya dengar tentang perkara ini mulanya, saya telah menghubunginya untuk perbincangan secara dalam talian pada 16 Ogos lalu, secara dasarnya beliau menyatakan ia berhubung kait dengan isu perubatan selepas pembedahannya kerana tidak dapat mengikuti rejim latihan ketat.

“Jin Wei kata mahu bersara dan beralih kepada fasa kehidupan lain. Kami cadangkan beliau agar bersara selepas Piala Uber, tapi beliau sendiri mengumumkannya lebih awal…Saya bersamanya ketika menjalani pembedahan, saya ingatkan ia akan bertambah baik, tapi sebaliknya beri kesan kepadanya,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Semalam Jin Wei mengejutkan para peminat sukan badminton tanah air apabila mengumum persaraan sebagai pemain perseorangan wanita negara pada usia 21 tahun kerana masih bergelut dengan tahap kesihatan selepas alami masalah sehingga terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian usus perutnya.

Mohamad Norza menjelaskan, beliau sendiri telah menawarkan Jin Wei mendapatkan rawatan dengan pakar luar negara, namun Jin Wei belum memutuskannya sambil menyatakan akan cuba memikirkannya.

“Apabila membincangkan mengenai masalah perubatan, saya katakan padanya saya sanggup menghantar ke luar negara untuk mendapatkan rawatan, itu adalah tawaran saya,

“Pada masa sama, (Pengarah Kejurulatihan BAM) Wong Choon Hann dan Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh juga telah bercakap dengannya dan ibunya,” kata Mohamad Norza.

Mengulas mengenai pemain pengganti Jin Wei untuk saingan Piala Uber pada 9 hingga 17 Oktober ini di Denmark, Mohamad Norza berkata beberapa pemain wanita seperti Kisona, Eoon Qi Xuan, K. Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman dijangka akan mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Jin Wei.

Leave a Reply