Gadis tidak mahu kalah selepas kagum lihat kucingnya berenang

Hebahkan !!!

 

BUKAN mudah untuk memandikan kucing di rumah kerana kebanyakan haiwan kesayangan ramai itu akan takut pada air.

Namun bagi seorang pemilik kucing, Siti Nur Najihah Azman Shah agak berbeza apabila kucing jantan yang dipeliharanya bernama Mei berusia setahun lebih itu, gemar untuk mandi di laut .

Gadis berusia 24 tahun itu berkata, dia sering membawa kucing kesayangannya ke pantai Port Dickson, Negeri Sembilan yang terletak hanya kira-kira lima minit perjalanan dari rumah bapanya.

“Mei ni sebenarnya kucing jalanan. Saya jumpanya masa baru lahir di tepi jalan dekat kawasan kampung lebih setahun lalu.

“Dari kecil dia memang tak takut dengan air, saya selalu bawa dia ke bilik air setiap kali mandi. Dia akan mandi sekali,” kata Najihah seperti yang dilaporkan oleh mStar.

Menurut anak gadis berasal dari Nilai itu, dia membawa kucing peliharaannya itu ke pantai mulai pada Disember tahun lalu, namun pada awalnya tidak mengetahuik kucing miliknya boleh berenang.

“Saya bawa dia ke tepi pantai untuk mandikan, masa itu air laut paras buku lali. Selepas itu nampak Mei terapung dan mula berenang.

“Video yang viral itu pun dirakamkan di pantai sama, minggu lepas. Masa tu air laut di paras pinggang saya. Itulah kali kedua saya lihat dan sah dia boleh berenang,” ujarnya.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia tidak boleh membawa kucingnya jauh ke tengah laut kerana dirinya sendiri tidak pandai berenang.

Jadi katanya, kalau mandi di pantai dia biasanya setakat air di paras pinggang sahaja sambil turut bawa pelampung ke pantai untuk mandi.

“Teringin masuk kelas berenang sebab saya suka pergi pantai. Ikutkan nak belajar sejak tahun lepas tapi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pula, tak ada kelas yang beroperasi,” tambahnya.

Pada masa ini, kata Najihah, dia memandikan kucingnya yang disifatkan manja itu menggunakan besen bayi di bilik air, namun disebabkan besen bayi agak dan rendah, maka sukar untuk kucingnya berenang.

“Jika ke pantai, saya akan sentiasa awasi pergerakannya. Saya tak mahu dia berenang lama kerana belum tahu lagi sejauh mana keupayaan dia berenang dan saya mahu dia berasa selamat.

“Kucing saya ni tak takut air pun, boleh je dia mandi kat bilik air. Lagipun saya memang selalu ke pantai, jadi akan bawa dia sekali untuk berenang,” katanya yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.

Leave a Reply