Olimpik Paris 2024, bakal hadiahkan emas pertama – Ahmad Faizal

Hebahkan !!!

MENTERI Belia dan Sukan menzahirkan keyakinannya bahawa edisi Sukan Olimpik Paris 2024 nanti, bakal menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran itu berdasarkan prestasi terbaik yang ditunjukkan atlet negara di Tokyo baru-baru ini.

Sambil mengakui harapan tinggi disandarkan ke bahu jaguh lumba basikal dan trek kebangsaan iaitu Azizulhasni Awang, namun kata Ahmad Faizal prestasi emas ditunjukkan “The Pocket Rocketman” dalam acara keirin gagal mengangkat beliau sebagai juara dan hanya mampu meraih pingat perak.

 

“Kita cuba dapatkan pingat emas pertama di Olimpik Tokyo, tetapi malang acara keirin oleh Azizulhasni (hanya perak) gagal realisasikan impian Malaysia membawa pulang pingat emas pertama di Tokyo.

“Saya rasa dia sudah berikan persembahan emas, namun nasib tidak menyebelahi beliau dan Malaysia kerana ‘pace maker’ terlalu jauh menyebabkan Azizulhasni tidak dapat memecut.

“Namun apa yang boleh saya katakan adalah persembahan emas bagi rakyat Malaysia semua,” katanya selepas menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Berbaki tiga tahun lagi menjelang Olimpik Paris 2024, Ahmad Faizal yakin, barisan atlet negara dijangka dapat mencapai kemuncak prestasi masing-masing untuk merealisasikan hasrat membawa pulang emas pertama Malaysia dalam temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

Katanya, dengan modul latihan baik, bukan saja bagi Azizulhasni, tetapi dengan beberapa atlet lain juga akan capai kemuncak prestasi (untuk ke Olimpik Paris 2024) nanti.

“Justeru, kerjasama rapat antara semua persatuan sukan amat penting untuk bersama-sama memastikan atlet kebangsaan mampu menjayakan misi berkenaan.

“Kalau kita semua berjaya lakukannya, saya percaya pingat emas pertama dalam genggaman,” ujarnya.

Pada Olimpik 2020 di Tokyo baru-baru ini, Azizulhasni dijulang sebagai wira kontinjen negara selepas memenangi pingat perak acara keirin, sekali gus memperbaiki pencapaiannya ketika di Olimpik Rio 2016 apabila meraih gangsa.

Aksi dipamer anak kelahiran Terengganu itu pada kejohanan di Tokyo, merupakan penampilan keempat Azizulhasni di pentas Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Leave a Reply