Usia baru empat tahun, tapi dah cipta rekod Malaysia

Hebahkan !!!

Port Dickson: Usianya baru mencecah empat tahun namun anak lelaki tunggal seorang doktor, R Vishan berjaya mengenal pasti 147 bendera negara secara rawak dalam tempoh masa 15 minit.

Ini sekali gus meletakkan namanya dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui ujian secara maya yang diadakan bulan Julai lalu

Bapanya, Dr G Rajasekaran, 40, berkata, Vishan cepat mengingati warna dan menamakan bendera kebangsaan mewakili semua negara di dunia walaupun masih belum boleh membaca.

“Dia seperti kanak-kanak lain yang suka bermain terutama basikal push dan motor strider. Malah, dia pernah menjuarai pertandingan itu di Singapura pada 2019 ketika usianya baru dua tahun.

“Dia begitu suka dengan objek warna sejak kecil. Lebih memeranjatkan dia boleh mengingati kembali dengan jelas walaupun ia berlaku beberapa hari lalu.

“Pada awalnya, saya membeli satu set kad menampilkan 10 bendera negara berlainan di dunia. Dalam tempoh beberapa hari, dia sudah dapat menghafal nama negara bendera berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia turut mendapatkan kad bendera dari negara lain bagi memudahkan anaknya tidur selepas menghafal nama negara diwakili bendera itu.

Dr Rajasekaran berkata, dia kemudian menghubungi MBOR untuk menguji tahap keupayaan anaknya itu.

“Pada sesi maya diadakan Julai lalu, Vishan berjaya mengenal pasti 147 bendera negara secara rawak dalam masa 15 minit. Rekod baru itu disahkan pada 26 Julai lalu.

“Saya percaya jika sesi itu diadakan secara bersemuka, Vishan akan dapat melakukannya dengan lebih baik,” katanya ditemui di sebuah hotel di Port Dickson di sini, bersama isterinya, Angila Raju, 30.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply