Lebih sebulan menanti, Shuib akhirnya dapat bertemu bayinya Ayash Affan

Hebahkan !!!

SHUIB BERSAMA TIGA ANAKNYA TIDAK SABAR MENANTI KEPULANGAN AYASH AFFAN

TIADA hadiah paling bermakna sempena ulang tahun kelahiran ke-37 pelawak Shuib Sepahtu melainkan khabar gembira mengenai bayi barunya, Ayash Affan yang kini masih dalam pemantauan doktor di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Shuib atau nama sebenar, Shahmira Muhamad melahirkan syukur apabila dibenarkan bertemu dengan anaknya di hospital buat pertama kali, pada Isnin.

“Alhamdulillah… di hari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira. Dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan.

“Ia akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan,” kata Shuib melalui Instastory miliknya yang baharu sahaja dimuat naik.

Menerusi laporan mStar pada 26 Ogos lalu, Shuib berkongsi cerita yang bayinya sudah mula diberikan susu badan dan akan dibuka alat bantuan pernafasan dalam masa terdekat.

Teruja untuk bertemu dengan bayi pramatangnya itu, Shuib memberitahu dia masih teringat kata-kata terakhir Allahyarham isterinya, Siti Sarah Raisuddin

Menurut ahli kumpulan lawak Sepahtu ini, dia akan melakukan yang terbaik untuk menjaga anak mereka seperti mana arwah isterinya mahukan.

“Insya-Allah, Alhamdulillah hari ini jumpa Ayash Affan. Masih ingat lagi ibu selalu cakap benda yang sama berulang kali ‘baby keempat ini you jaga dia tau. You jaga okay’.

“Insya-Allah sayang. I akan jaga dia macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh. Anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia dan akhirat.

“Anak yang selalu dekat dengan Allah. Cuma I mohon you doakan I. Perjalanan I masih jauh. Doakan I selalu kuat. I love you sayang,” katanya.

Siti Sarah, 37, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi Isnin, 9 Ogos lalu di PPUKM Kuala Lumpur akibat Covid-19.

Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos lalu.

Selain Ayash, Allahyarham turut meninggalkan tiga lagi cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8 dan Ariq Matin, 6.

Pasangan bahagia itu mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Leave a Reply