MoU bukan bermaksud PH sertai kerajaan – Anthony Loke

Hebahkan !!!

MEMORANDUM persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang akan ditandatangani hari ini bukan bermaksud Pakatan Harapan (PH) menyertai kerajaan, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Sebaliknya, beliau berkata, MoU itu adalah untuk mengembalikan kestabilan politik dan menumpu sepenuh usaha bersama ke arah memerangi Covid-19, termasuk memulihkan ekonomi dan membawa pembaharuan serta reformasi dalam sistem pentadbiran negara.

“Ahli-ahli Parlimen PH tetap duduk di sebelah blok pembangkang dan terus memainkan peranan sebagai “check and balance” kepada kerajaan.

“Ahli-ahli Parlimen PH juga akan terus memantau dan mengkritik sebarang kelemahan kerajaan serta tetap lantang bersuara untuk kepentingan rakyat.

“Namun, untuk sebarang rang undang-undang dan proses Belanjawan yang perlu dirunding dan dipersetujui bersama secara dasarnya, kami akan memberikan kerjasama kepada kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Loke berkata, sebagai balasan untuk persefahaman itu, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai dasar bagi membantu rakyat serta membawa pembaharuan dalam sistem pentadbiran negara serta memperkukuhkan institusi Parlimen.

“Senarai penuh komitmen daripada kerajaan akan diumumkan selepas MoU ditandatangani pada petang esok (hari ini),” katanya.

Sebagai salah satu wakil PH dalam proses rundingan itu, beliau turut berharap persefahaman tersebut bukan sahaja dapat mengembalikan kestabilan politik buat sementara waktu, malah dapat menyumbang ke arah lanskap politik lebih dinamik dan konsultatif serta membudayakan politik dwi-partisan khususnya di Parlimen.

“Saya harap semua orang boleh mengambil sedikit masa untuk membaca dan mengambil perhatian terhadap dokumen bersejarah ini selepas diumumkan esok (hari ini). Terima kasih,” katanya. – Malaysiapost

Leave a Reply